PETALING JAYA: Lima wanita warga asing yang dipercayai memperdagang diri ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah hotel di Jalan Pudu Ulu, dekat sini, semalam.
Wanita berusia antara 25 tahun hingga 40 tahun itu ditahan anggota dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira pukul 4.45 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, selain itu, pihaknya menahan tiga pelanggan lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 36 tahun.
“Dalam serbuan itu, kita merampas sebanyak 13 kondom, lima tuala, tiga gel pelincir, lima kad akses dan wang tunai berjumlah RM1,070.
“Semua suspek yang ditahan direman hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan melakukan aktiviti pelacuran serta tiada pas lawatan atau permit sah untuk tinggal di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saiful Annuar turut memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan apa-apa kegiatan pelacuran kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemilik premis, pekerja atau pelanggan dalam usaha memerangi kegiatan pelacuran di ibu kota ini.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN ONLINE