Lima ejen judi dalam talian ditahan selepas tiga hari beroperasi - Utusan Malaysia

Lima ejen judi dalam talian ditahan selepas tiga hari beroperasi

TELEFON bimbit yang dirampas polis setelah mematahkan kegiatan perjudian atas talian di sebuah rumah di Iskandar Puteri di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Polis mematahkan sindiket perjudian dalam talian yang baru beroperasi tiga hari selepas menahan lima suspek yang bertindak selaku ejen dalam serbuan di sebuah kediaman, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 3 petang itu dibuat menerusi Op Dadu.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan melibatkan empat lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 26 hingga 60 tahun.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kegiatan perjudian tersebut beroperasi lebih kurang tiga hari bermula pukul 11 pagi hingga 9 malam setiap hari.

“Kesemua saspek mengaku berperanan sebagai ejen untuk menguruskan sembilan orang pelanggan tetap sahaja,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, segala bayaran melalui transaksi oleh pelanggan diuruskan individu bertanggungjawab sebagai khidmat pelanggan yang berada di tempat lain dan mereka mengaku hanya merekodkan jumlah pertaruhan daripada pelanggan.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas empat komputer riba, sebuah iPad, 10 telefon bimbit, sehelai kertas jadual pertaruhan dan sebuah pendrive,” ujarnya.

Dzulkhairi turut memberitahu, setiap ejen dijanjikan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 dan komisen bergantung kepada jumlah pertaruhan dibuat pelanggan.

“Semakan rekod lampau mendapati seorang daripada saspek mempunyai lima rekod dengan pelbagai kesalahan.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) (G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya