Letak jawatan dalam UMNO perkara biasa, tanda ahli pegang prinsip - Utusan Malaysia

Letak jawatan dalam UMNO perkara biasa, tanda ahli pegang prinsip

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Perletakan jawatan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO adalah perkara biasa dalam parti dan perlu dihormati semua pihak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, jika peletakan jawatan berkenaan mempunyai kaitan dengan prinsip seharusnya diterima tindakan berkenaan.

“Tengku Razaleigh ni daripada dulu lagi dia memang bersikap sebagai berkecuali dan itu adalah pandangan peribadi beliau, jadi kita kena hormati.

“Ia berkaitan prinsip, kita hormati prinsip beliau dan kalau tidak setuju, letak jawatanlah. Ia perkara biasa.

“Saya pun baca ucapan beliau di Parlimen semalam dan kita hormati pandangan itu. Soal jawatan, letak jawatan itu biasalah, macam dulu Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah pun letak jawatan menteri,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Exco Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri di sini hari ini.

Perletakan jawatan Ku Li disampaikan oleh Ahli Parlimen Gua Musang tersebut menerusi sepucuk surat yang dikirimkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertarikh 20 September.

Surat berkenaan disahkan oleh seorang pegawai Ku Li ketika dihubungi Utusan Malaysia.

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

Sementara itu, ketika ditanya dakwaan Tengku Razaleigh tentang UMNO lama dan baharu, Mohd. Sharkar menegaskan seharusnya perkara itu tidak timbul kerana parti itu masih lagi satu dan sama seperti sebelumnya.

“Mana ada UMNO lama, UMNO baharu. Presiden masih Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan (Presiden) masih Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Naib Presiden masih lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzhir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin.

“Tidak ada pun istilah UMNO baru atau UMNO lama, ini persepsi yang dimainkan oleh media dan juga orang ramai. Apapun, kita hormati Tengku Razaleigh sebagai orang lama dalam parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN