Lembah Klang, Negeri Sembilan, Labuan dan Sarawak buktikan keberkesanan vaksin - Utusan Malaysia

Lembah Klang, Negeri Sembilan, Labuan dan Sarawak buktikan keberkesanan vaksin

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Trend kemasukan pesakit dalam hospital di negeri-negeri dengan liputan penerima dos lengkap melebihi 50 peratus seperti Lembah Klang, Negeri Sembilan, Labuan dan Sarawak menunjukkan penurunan sekali gus membuktikan keberkesanan pemberian vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan trend penurunan kemasukan pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, sebanyak 53 peratus penurunan dapat dilihat berbanding pada awal Ogos.

“Bagi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang terdapat penurunan sebanyak 44 peratus bermula awal Ogos selepas sebulan aktiviti vaksinasi dipertingkatkan di Lembah Klang.

“Sehubungan itu, saya ingin menjelaskan dan menegaskan bahawa vaksin Covid-19 digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah berkesan terutamanya dalam mengurangkan risiko komplikasi jangkitan yang teruk,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, PICK dimulakan pada 24 Februari sebagai salah satu langkah untuk mengawal pandemik Covid-19 dengan sehingga semalam, sebanyak 84.3 peratus populasi dewasa telah menerima satu dos vaksin, manakala 64.2 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap.

“Kadar liputan imunisasi Covid-19 bagi populasi dewasa yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin di beberapa negeri seperti di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Labuan  melebihi 90 peratus, manakala lebih 75 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap.

“Bagi negeri-negeri lain, aktiviti pemberian vaksin sedang dipertingkatkan dan kita menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada akhir Oktober,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan kes yang mendadak direkodkan bermula awal Julai (minggu epid ke-26) terutamanya di Labuan, Lembah Klang dan Negeri Sembilan, selari dengan peningkatan kes jangkitan varian delta di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

“Mengambil kira situasi ketika itu, kerajaan membuat keputusan untuk mempertingkatkan pemberian vaksin Covid-19 di negeri-negeri tersebut bagi mengurangkan kes jangkitan teruk dan kematian akibat Covid-19.

“Langkah ini bagi mengurangkan beban keupayaan fasiliti kesihatan termasuk penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam merawat Covid-19 untuk memastikan fasiliti kesihatan khususnya di negeri-negeri tersebut kekal berfungsi pada tahap optimum.

“Perlu diingatkan, individu yang  menerima vaksin Covid-19 masih berisiko untuk mendapat jangkitan dan masih boleh menjangkiti orang lain tanpa mereka sedari. Keberkesanan vaksin juga tidak dapat ditunjukkan dengan serta-merta,” katanya.

Tambah beliau, keberkesanan vaksin yang optimum dalam bertindak balas dan melindungi penerima vaksin mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu selepas dos kedua bagi vaksin yang memerlukan dua dos atau 28 hari selepas mengambil vaksin dos tunggal.

Sementara itu, katanya, dari 16 Julai hingga 31 Ogos, sebanyak 865,472 kes Covid-19 dilaporkan dengan 18,154 (2.1 peratus) dalam kategori klinikal tiga hingga lima, manakala sebanyak 1,894 kes atau 10.4 peratus bagi kes kategori tiga hingga lima mempunyai sejarah vaksinasi lengkap.

“Justeru, saya ingin menasihatkan dan memohon kepada orang ramai untuk mengambil vaksin Covid-19 supaya pandemik ini dapat dikawal dengan segera dan ekonomi negara dapat dipulihkan.

“Bagi memastikan individu dan masyarakat dilindungi daripada jangkitan Covid-19, semua individu sama ada yang telah atau belum menerima vaksin perlu mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Strategi dua serangkai ini perlu berjalan seiring agar kerana ia saling melengkapi,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya