PETALING JAYA: Seorang pekerja penyelenggaraan berdepan detik cemas selepas dihempap antena di bahagian kaki di atas sebuah bangunan di Jalan Mawar, Taman Mawar, Ampang hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 12.21 tengah hari tadi.
“Lima anggota bomba bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba, kita mendapati seorang lelaki berusia 25 tahun cedera di bahagian kaki akibat dihempap antena ketika berada di atas bangunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudian dibawa turun sebelum dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.- UTUSAN ONLINE