Sediakan bakat, tenaga mahir mencukupi – PM

Sediakan bakat, tenaga mahir mencukupi – PM

ANWAR Ibrahim bertanyakan sesuatu kepada seorang pelajar Malaysia ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Diaspora Malaysia di Russia, kelmarin. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara mesti menyediakan bakat dan tenaga mahir mencukupi untuk memastikan pelaburan berbilion ringgit oleh syarikat-syarikat gergasi seperti Infineon, Google, Microsoft, NVIDIA dan ARMS membuahkan hasil.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelajar Malaysia di luar negara berusaha menimba ilmu dan meneroka bidang-bidang baharu yang diperlukan negara.

Beliau berkata, ilmu yang diperoleh perlu diterjemah ke­pada daya saing negara me­rangkumi ekonomi, kece­ka­pan kerajaan, kecekapan per­niagaan dan kemudahan infrastruktur.

“Ilmu yang ditimba di rantau asing harus diterjemah kepada daya saing negara,” katanya dalam majlis dialog bersama pelajar Malaysia di Russia.

Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari ke Russia bermula kelmarin.

Dalam pertemuan dengan pelajar Malaysia itu, Anwar turut menggesa mereka menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam menimba ilmu.

Anwar berkata, pelajar Malaysia di luar negara perlu terus berpegang teguh pada jati diri dan semangat kebangsaan yang membentuk kekuatan sebagai anak Malaysia.

Beliau menegaskan keyakinan bahawa Malaysia mampu terus berdiri teguh berpaksikan asas ekonomi yang kukuh serta semangat kebersamaan rakyat dari kalangan pimpinan, penjawat awam, penggerak masyarakat mahupun sektor swasta.

Katanya, kekuatan sesebuah negara bukan hanya terletak pada angka, tetapi pada tatakelola yang baik dan iltizam untuk menoktahkan budaya kebobrokan.

“Kita tidak mahu Malaysia dikenang kerana rasuah atau perpecahan kaum dan agama.

“Pemimpin harus menjauhi salah guna kuasa dan amalan memunggah kekayaan untuk diri dan keluarga, sebaliknya tampil rendah diri, mendengar pandangan rakyat untuk me­rangka dasar yang mengangkat darjat, harkat dan martabat negara,” katanya.

Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut berkongsi beberapa cabaran geopolitik semasa, termasuk pelaksanaan tarif balas oleh Amerika Syarikat (AS).

Beliau turut memberi jaminan proses pengundian untuk rakyat Malaysia di luar negara khususnya pelajar akan dipermudahkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kerajaan akan memperke­nalkan sistem undi dalam ta­lian bagi memastikan hak rak­yat tidak dinafikan kekangan teknikal,” katanya.

Pada tahun 2024, Malaysia dilaporkan menarik pelaburan diluluskan sebanyak RM378.5 bilion dalam sektor perkhidmatan (RM252.7 bilion), perkilangan (RM120.5 bilion) dan utama RM5.3 bilion). Ia peningkatan sebanyak 14.9 peratus berban­ding RM329.5 bilion tahun sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN