Lebih lima juta kit ujian pantas (RTK) berada di pasaran

Lebih lima juta RTK di pasaran

AZMAN Adam (kanan) melakukan pemantauan dan pemeriksaan penjualan RTK antigen kendiri dan oximeter di sebuah farmasi di Temerloh, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Orang ramai tidak perlu bimbang kit ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri Covid-19 tidak mencukupi kerana sebanyak 5.342 juta unit bekalan berkenaan berada di pasaran. 

Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, orang ramai boleh mendapatkan RTK di mana-mana farmasi dan klinik swasta dengan harga runcit RM19.90 seunit.

“Sebanyak 18 syarikat dibenarkan mengedarkan RTK dengan 11 jenama yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan bagi kegunaan awam.

“Penjualan RTK ujian kendiri semakin mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai berikutan kadar jangkitan Covid-19 yang masih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pematuhan harga RTK di Farmasi Ubatku di Taman Chengal Temerloh di sini hari ini. 

Azman berkata, rakyat perlu membiasakan diri melakukan ujian kendiri sebagai sebahagian persediaan bagi menghadapi fasa endemik Covid-19 yang dijangka bermula pada akhir Oktober depan.

Menurutnya, sehingga semalam, sebanyak 1,999 premis perniagaan telah diperiksa dan mendapati peniaga patuh menjual RTK dengan harga RM19.90 yang ditetapkan kerajaan.

“Terdapat juga 199 premis klinik dan farmasi di seluruh negara yang menjual di bawah harga lebih rendah seperti mana ditetapkan kerajaan.

“Ia sekali gus menunjukkan golongan peniaga memberikan sokongan dan kerjasama baik terhadap usaha kerajaan menggalakkan rakyat membuat ujian kendiri mengesan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan terhadap alat bacaan oksigen atau oximeter agar ia tidak dijual dengan harga melampau.

Katanya, mana-mana individu yang mendapati oximeter dijual dengan harga melampau boleh membuat aduan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut.

“Kalau kita menerima aduan tentang kenaikan harga yang melampau contohnya minggu ini harga RM120 tiba-tiba minggu depan naik kepada RM180 yang tidak munasabah maka kita boleh menyiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, kita boleh siasat kalau ada pergerakan harga yang melampau,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN