Lantik pemegang jawatan tertinggi tanpa campur tangan politik - Berjasa - Utusan Malaysia

Lantik pemegang jawatan tertinggi tanpa campur tangan politik – Berjasa

ZAMANI Ibrahim (tengah) ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum di Pintu 2 Istana Negara, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mengesyorkan beberapa perkara bagi memperkasa tadbir urus kerajaan ke arah membentuk negara yang bebas daripada semua bentuk penyalahgunaan kuasa.

Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, perkara pertama adalah lantikan jawatan tertinggi negara seperti Speaker Dewan Rakyat, Speaker Dewan Negara dan Ketua Hakim Negara berdasarkan kepada keupayaan tanpa melibatkan campur tangan politik.

“Lantikan jawatan tertinggi seperti yang disebut hendaklah dalam kalangan orang yang kuat pegangan agama dan taat setia kepada raja serta negara.

“Seseorang yang dilantik perlulah berwibawa, mempunyai integriti  tinggi dan mampu menjalankan tugas secara adil serta saksama,” katanya selepas menyerahkan memorandum berhubung cadangan itu di Istana Negara hari ini.

Memorandum tersebut dihantar ke Pejabat Pentadbiran Bahagian Pengurusan Diraja Istana Negara.

Menurut Zamani, Berjasa juga mengesyorkan supaya memisahkan bidang kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya bagi menjamin ketelusan dan keadilan dalam institusi perundangan negara.

“Berjasa yakin dan percaya, sekiranya cadangan yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ini dapat dilaksana, pentadbiran negara dapat dibentuk menjadi negara yang lebih telus, bersih, amanah dan bebas daripada semua bentuk penyalahgunaan kuasa.

“Berjasa meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan dan pembangkang untuk bersama-sama mendukung cadangan ini bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih unggul,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN