PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini sedang menyediakan garis panduan operasi perniagaan premis makanan khususnya kelonggaran kepada pemilik restoran untuk menyediakan tempat makan di luar premis sejajar ke arah fasa endemik Covid-19 di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, garis panduan akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk penilaian sebelum diumumkan.
“Pastinya setiap saranan yang baik sentiasa diambil perhatian dan kementerian kini sedang menyediakan garis panduan untuk dikemukakan kepada MKN untuk penilaian sebelum diumumkan.
“Garis panduan lengkap ini kemudian akan dipanjangkan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar ada keseragaman. Keseragaman ini penting untuk manfaat rakyat serta bagi memudahkan pengusaha premis yang mungkin memiliki cawangan di beberapa negeri dan memudahkan operasi perniagaan mereka,” katanya menerusi Facebook beliau semalam.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, pihaknya berbincang serta mendapatkan panduan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi mengeluarkan garis panduan jelas mengenai sistem pengudaraan dalam premis terutamanya restoran berhawa dingin dan tidak memiliki ruang luar.
Beliau kemudian bersetuju dengan saranan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kelonggaran diberikan kepada pemilik restoran untuk menyediakan tempat makan di luar premis.
Katanya, cadangan itu merupakan antara pelan pelaksanaan yang sedang disediakan dan diteliti oleh pihak Kementerian ke arah fasa endemik di negara ini.
“Sementara itu, saya harap kita semua sentiasa mematuhi dan mengamalkan SOP yang dikeluarkan kerana kerjasama kita semua akan dapat membawa kejayaan dalam memerangi pandemik ini. Insya-Allah,” katanya.
Semalam, Najib menerusi Facebooknya menyuarakan pendapat mengenai perlunya kelonggaran diberikan kepada pemilik restoran untuk menyediakan tempat makan di luar premis kerana langkah ini sebenarnya mengurangkan risiko dijangkiti kerana adanya pengudaraan lebih baik berbanding tempat duduk dalam premis apatah lagi yang tertutup.
Beliau berharap PBT akan segera keluarkan garis panduan yang jelas dan pada pendapat saya, tak perlu dikenakan lesen atau tindakan namun pengusaha perlu ikut garis panduan seperti tidak menghalang laluan dan sebagainya. – UTUSAN