KPKT rancang bina 80,000 unit kediaman manfaatkan 400,000 keluarga - Utusan Malaysia

KPKT rancang bina 80,000 unit kediaman manfaatkan 400,000 keluarga

ISMAIL Sabri Yaakob menyerahkan kunci kepada penerima Rumah Ikram Keluarga Malaysia di KPKT, Putrajaya. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang membina kira-kira 80,000 unit kediaman yang memanfaatkan kira-kira 400,000 Keluarga Malaysia sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merical Naina Merican berkata, jumlah itu melibatkan 52 Projek Perumahan Rakyat (PPR) meliputi 16,011 unit; 16 projek Perumahan Penjawat Awam (39,192 unit); 24 projek perumahan PR1MA (10,256 unit) dan Rumah Mesra Rakyat (15,000 unit).

“KPKT selaku custodian kepada hal ehwal perumahan di dalam negara ini sentiasa memastikan Agenda Perumahan untuk rakyat diberi keutamaan dalam setiap Hala Tuju Strategik Negara seperti Belanjawan Tahunan mahupun setiap kali Rancangan Malaysia dibentangkan.

“Ini kerana, Agenda Perumahan ini adalah isu akar, isu pokok yang menjadi nadi kepada setiap rakyat Malaysia, setiap Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Reezal Merican berkata,  inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia sebagai satu pendekatan penampan terhadap kesan penularan Covid-19 ini.

Beliau berkata, Rumah Ikram Keluarga Malaysia ini bukanlah pembinaan rumah baharu, bahkan ia merupakan program khusus dengan menggunakan kemudahan PPR sedia ada di bawah kawalan dan pengurusan KPKT.

Katanya, ia bukan hanya soal tempat berteduh, tetapi tempat untuk anak-anak menimba ilmu melalui pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR), tempat untuk suri menjalankan aktiviti ekonomi tambahan seperti perniagaan di rumah menampung pendapatan suami dan paling penting adalah tempat mengikat ikatan kekeluargaan.

“Alhamdulillah, sejak diumumkan, kita menerima begitu banyak permohonan, tidak kurang juga panggilan yang bertanyakan tentang inisiatif rumah Ikram Keluarga Malaysia ini,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 100 orang kumpulan pertama penerima Rumah Ikram Keluarga Malaysia menerima kunci daripada Perdana Menteri.

Antaranya, seorang penerima, Hamidah Othman, 36, dari Kuala Lumpur yang kini menyewa di Taman Bukit Angkasa, ditawarkan Rumah Ikram Keluarga Malaysia di PPR Lembah Subang 2.

Reezal Merican berkata, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), majikan suami beliau hanya mampu membayar gaji pokok sahaja dan ini menyebabkan keluarga yang memiliki dua cahaya mata ini tidak mampu mencari rumah sewa dan hanya mampu menumpang dengan keluarga yang mempunyai adik-beradik yang ramai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN