LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menasihatkan komuniti maritim khususnya nelayan di negeri ini agar sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan cuaca semasa ketika fasa peralihan monsun sekarang.
Pengarahnya, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, mereka perlu mendapatkan maklumat keadaan cuaca dan laut daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) terlebih dahulu sebelum membuat keputusan turun ke laut.
“Kami tiada kuasa untuk melarang komuniti maritim ke laut tetapi menasihati agar sentiasa memeriksa ramalan cuaca, dan mengambil langkah keselamatan.
“Jika ada amaran ribut daripada MetMalaysia, nelayan atau pemancing dinasihatkan tidak turun ke laut, demi keselamatan mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Isnin lalu, MetMalaysia mengeluarkan kenyataan bahawa fasa peralihan monsun iaitu dari Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut, bermula hari ini sehingga awal November.
Menurut kenyataan itu, fasa peralihan itu akan mengakibatkan tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang memungkinkan kejadian ribut petir dan hujan lebat di negeri Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
Shahrizan menasihatkan komuniti maritim di Perak merancang aktiviti dan pergerakan di laut serta tidak mengambil risiko jika diramalkan keadaan laut bergelora dan cuaca tidak menentu.
Jelasnya, pernah berlaku kejadian tujuh bot karam di sekitar perairan Perak dalam sehari akibat cuaca buruk ketika peralihan monsun yang lalu, justeru tindakan turun ke laut tanpa mendapatkan maklumat ramalan cuaca adalah berisiko tinggi.
“Nelayan juga harus memastikan bot mereka berada dalam keadaan baik, selamat serta mempunyai peralatan keselamatan yang lengkap seperti pelampung dan Sistem Penentukedudukan Global (GPS) selain sentiasa memakai jaket keselamatan ketika berada di laut,” nasihat beliau.
Maritim Perak, jelasnya, sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan terutama dalam tempoh musim tengkujuh dengan menugaskan sebuah bot dan kapal beroperasi di laut, manakala sebuah lagi bot dan kapal bersiap sedia di jeti.
Shahrizan meminta orang ramai melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737. – UTUSAN ONLINE