Kerjasama tangani keganasan elak pengaruh anak muda 

Kerjasama tangani keganasan elak pengaruh anak muda 

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ideologi radikal yang mengakibatkan keganasan di negara ini khususnya dalam kalangan golongan muda adalah hal yang paling membimbangkan. 

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebab itu kerajaan akan terus menggunakan apa sahaja pendekatan dan bentuk kerjasama dengan semua pihak bagi mencegah jenayah berkenaan. 

“Kerajaan akan menumpukan kerjasama dengan masyarakat sivil, golongan muda, agamawan dan ahli akademik (untuk menangani keganasan). Yang dibimbang ialah fahaman radikal yang boleh (mengarah ke kepengganasan) dalam kalangan anak muda.  

“Pun begitu, apa sahaja ancaman yang boleh menggugat kehidupan rakyat Malaysia, itulah bentuk ancaman yang menjadi keutamaan kerajaan. 

“Selain itu, perkara yang sangat penting dalam isu ini ialah keselamatan siber…bukan kerana saya pernah menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia tetapi ini antara tugas untuk memantau sebarang pengaruh keganasan dalam talian,” katanya hari ini. 

Beliau berkata demikian semasa sidang media secara dalam talian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) di sini. 

Ditanya berkenaan rekod terkini tangkapan rakyat Malaysia yang terlibat dengan aktiviti dan jenis keganasan yang dilakukan, kata Saifuddin, pihaknya tidak mendedahkan maklumat tersebut. 

“Biasanya, kementerian tidak mendedahkan bilangan yang terlibat dalam jenayah ini. Yang mendedahkan adalah pihak polis dan ia adalah berdasarkan rekod yang mereka boleh kongsi kepada orang awam sahaja,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan mempunyai hubungan kerjasama dengan negara ASEAN seperti Indonesia dan Filipina untuk bersama-sama menyiasat jenayah keganasan. 

“Kerajaan ada kerjasama dalam bentuk penyelidikan, latihan dan saling bertukar maklumat antara satu sama lain,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan akan membincangkan pendirian Malaysia mengenai situasi di Afghanistan dalam mesyuarat Kabinet bagi mendapatkan nasihat dan pandangan, Jumaat ini. 

Katanya lagi, pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada rakan sejawat di Qatar, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan mendapatkan maklumat mengenai situasi di Afghanistan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan di negara bergolak itu. 

“Malaysia memantau perkembangan di Afghanistan melalui pelbagai kaedah dan mengumpulkan maklumat daripada pelbagai sumber, supaya Malaysia boleh membuat keputusan dengan tepat.

“Pertama, melalui wakil kita di New Delhi untuk melawat situasi semasa di Afghanistan. Kedua, ada wakil kita di Islamabad kerana Pakistan dan Afghanistan itu sama seperti India, iaitu bersempadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya