PETALING JAYA : Kementerian Kesihatan menyasarkan nisbah katil hospital kepada 1,000 penduduk pada kadar 2.08 menjelang akhir Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, setakat tahun lalu, iaitu tahun akhir RMK-11, nisbah yang tercapai adalah 2.01 yang mana bilangan katil meningkat daripada 55,952 unit pada tahun 2016 kepada 65,508 katil pada tahun 2020.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan kini meneruskan inisiatif menambah bilangan katil menerusi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf hospital serta fasiliti sedia ada.
“Tumpuan diberikan kepada kawasan di mana hospital sedia ada mempunyai kadar penggunaan katil tinggi.
“Faktor lain yang turut diambil kira adalah kepadatan penduduk, akses kepada perkhidmatan di hospital sedia ada dan peruntukan kewangan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput ) yang ingin tahu sasaran Kementerian Kesihatan untuk mencapai tahap penyediaan katil hospital yang lebih tinggi dalam sesi Persidangan Dewan Rakyat hari ini.- UTUSAN ONLINE