Graduan terbaik UCAM hadiahkan kejayaan sempena hari lahir bapa

Graduan terbaik UCAM, hadiahkan kejayaan sempena hari lahir bapa

MUHAMMAD Fathur Rahman Mohd. Sani menerima Anugerah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (Graduan Keseluruhan Terbaik) yang disampaikan oleh Rubiah pada Majlis Konvokesyen UCAM Kali ke-21 di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kejayaan Muhammad Fathur Rahman Mohd. Sani, 24, meraih Anugerah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (Graduan Keseluruhan Terbaik) pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) Kali ke-21 begitu bermakna apabila ia menjadi hadiah ulang tahun kelahiran bapanya yang ke-49. 

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian berasal dari Besut, Terengganu, itu berkata, dibesarkan dalam suasana serba kekurangan sebagai anak kepada seorang pekebun kecil tidak menghalang dirinya mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran.

“Ayah dan ibu banyak berkorban demi kami adik-beradik. Kejayaan ini saya hadiahkan khas buat ayah sempena hari jadinya. Ia bukti bahawa pengorbanan mereka tidak sia-sia,” katanya kepada pemberita di Dewan Tunku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini.

Majlis konvokesyen itu disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang. 

Seramai 467 pelajar UCAM melibatkan 21 bidang pengajian menerima ijazah, diploma dan sijil masing-masing.

Rubiah dalam pada itu berkata, dengan kemajuan teknologi masa kini, beliau yakin usahawan agro yang mampu menembusi pasaran dunia dapat dilahirkan di negara ini

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian hari ini kerana masyarakat desa menaruh harapan besar untuk membuka peluang, mengubah nasib dan mengangkat martabat mereka di pentas nasional dan antarabangsa.

“Saya menyeru AgroTVET@KKDW diperkukuhkan sebagai simbol kemajuan pertanian moden dengan memberi fokus kepada kurikulum pertanian pintar selaras IR 4.0, iaitu mekanisasi dan automasi ladang, penggunaan AI dalam sektor agro, pembangunan industri halal berasaskan agro serta pengukuhan kerjasama strategik industri global,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN