PETALING JAYA: Kerajaan akan melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 sebagai inisiatif pembangunan dan pengurusan industri tuna negara yang menyeluruh.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pendekatan yang berfokus dalam pelan itu akan terus membangunkan industri tuna dan laut dalam dengan meningkatkan pendaratan sektor perikanan.
Antara lain, katanya, penekanan itu turut diberikan terhadap jaminan sekuriti makanan negara, menggalakkan penglibatan pengusaha industri sepanjang rantaiannya sekali gus meningkatkan daya saing dan pendapatan kumpulan sasar.
“Pelan ini wajar diterjemahkan dengan memastikan peluang ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak kerana ia tidak terhad kepada aktiviti penangkapan sahaja.
“Malah, pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri tuna boleh dibangunkan seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan dan pemprosesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Program Pendaratan Tuna di Dermaga Ayer Dalam, Pulau Pinang yang menyaksikan kapal Ibu Wira 1 berjaya mendaratkan 15 tan metrik tuna manakala Ibu Wira 2 mendaratkan 37 tan metrik tuna.
Yang hadir sama dalam program itu ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh; Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pengarah Perikanan, Ahmad Tarmidzi Ramly dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Yusoff Othman.
Untuk rekod, sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara, negara telah merekodkan hasil pendaratan tuna sebanyak 58,550 tan metrik bernilai RM520 juta.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 42,232 tan metrik atau 72 peratus dari jenis tuna neritik; 3,389 tan metrik tuna oseanik (enam peratus) dan 12,929 tan metrik tuna-like species (22 peratus).
Menjelang tahun 2030, kerajaan menggalakkan sehingga 70 vesel penangkapan ikan tuna berbendera Malaysia beroperasi di Lautan Hindi bagi membolehkan kuota pendaratan ikan tuna oleh Malaysia di Lautan Hindi sebanyak 30 ribu tan metrik tercapai.
Dalam pada itu, Ronald berkata, bagi memastikan pembangunan idnsutru tuna terus berkembangan di negara ini, kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta serta pelaburan amat penting bagi memastikan industri berkenaan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.
“Kerajaan sentiasa berusaha menaik taraf kemudahan di pelabuhan untuk menarik minat lebih banyak vesel tuna tempatan dan asing masuk mendaratkan hasil tangkapan mereka.
“Sudah pasti, peningkatan fasiliti pendaratan dan pengendalian tuna serta peningkatan kemahiran pekerjaan yang mengendalikan pendaratan dapat memastikan kualiti tuna terjaga dan dalam keadaan baik,” katanya. – ONLINE DONE