PETALING JAYA: Keputusan menarik balik 29 pertuduhan rasuah terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid oleh pihak pendakwaan baru-baru ini adalah berasaskan fakta yang disahkan daripada siasatan lanjut.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan memberitahu, perkara tersebut bermula apabila tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 semasa perbicaraan telah berlangsung.
Jelas kenyataan berkenaan, susulan itu SPRM menjalankan siasatan lanjut berkenaan pembelaan tersebut.
“Berdasarkan dapatan baharu menerusi keterangan yang dikemukakan, tertuduh membuktikan beliau telah membayar balik wang yang didakwa sebagai rasuah itu sebelum siasatan dimulakan.
“Saksi utama turut mengesahkan perkara tersebut sebagai wang pinjaman,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu, SPRM telah merujuk kembali kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan diputuskan perbicaraan tidak diteruskan berdasarkan perkembangan terbaharu siasatan tersebut.
“Keputusan itu dibuat kerana keterangan saksi utama tidak konsisten.
“Pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu, semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei 2021,” jelasnya.