Kenyataan Idrus menyalahi amalan undi percaya - PH - Utusan Malaysia

Kenyataan Idrus menyalahi amalan undi percaya – PH

IDRUS HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan (PH) mendakwa, pendirian Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri telah menyalahi amalan serta kelaziman konvensyen usul percaya atau tidak percaya di Parlimen yang dilaksanakan sebelum ini.

Jawatan kuasa itu dalam satu kenyataan memaklumkan, kenyataan Istana Negara bahawa Yang di-Pertuan Agong yang bertitah agar proses keabsahan tersebut dilaksanakan sebagai memenuhi keperluan kehendak perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. 

“Malah titah Seri Paduka ini juga memperlihat hikmah dan kebijaksanaan baginda yang mengangkat praktis konvensyen di dalam Parlimen yang telah dilaksanakan sekian lama. Malah konvensyen Perlembagaan terkait rapat dengan undi percaya ini merupakan sebahagian daripada roh demokrasi berparlimen.

“Kami ingin merujuk kepada beberapa peristiwa bahawa amalan konvensyen ini telah dilaksanakan oleh dua Perdana Menteri sebelum ini. Mereka telah memperoleh sokongan majoriti dua pertiga yang jauh lebih meyakinkan iaitu Tun Hussein Onn pada 1976 dan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2003 bagi memastikan keabsahan sebagai Perdana Menteri,” kata kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Idrus berkata, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan kerajaan yang telah dibentuk kerana berpendirian bahawa proses pemilihan telah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan teliti dan telus.

Justeru Jawatankuasa Perundangan PH mengesa agar usul percaya dilakukan dan Peguam Negara perlulah menyokong cadangan yang ternyata boleh menyuburkan tradisi negara. 

“Perlembagaan tidak terbatas kepada peruntukan sedia ada semata-mata, malah segala amalan, praktis, kelaziman dan konvensyen yang selari dengan Perlembagaan juga perlu diperkasakan.

“Kami menegaskan bahawa Perlembagaan tidak boleh dibaca secara mekanikal sebaliknya harus dilihat dan ditafsir secara konteks sejarah, kejadian semasa dan diperkukuh dengan konvensyen, amalan dan mekanisme untuk terus memperkukuhkan amalan demokrasi di Malaysia,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN