PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri (KLN) ada berhubung dengan beberapa kedutaan bagi mencari penyelesaian lambakan mayat rakyat mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 yang belum dituntut dan ‘terbiar’ di beberapa hospital kerajaan.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya ada berhubung dengan kedutaan asing mengenai perkara itu.
“Selama ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menguruskan hal berkaitan Covid-19 termasuk kematian dan kita ada berhubung dengan kedutaan yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar sempena penubuhan Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri yang diadakan secara maya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia yang mendedahkan, puluhan mayat warga asing yang meninggal dunia akibat Covid-19 belum dituntut kedutaan masing-masing dan ‘terbiar’ di beberapa hospital kerajaan.
Ia susulan, sumber mendedahkan, lambakan mayat warga asing yang tidak dapat diuruskan itu berpunca daripada sikap kedutaan warga asing terbabit mengambil mudah urusan pengesahan, dokumentasi dan pengurusan mayat.
Terdahulu mengenai sempena penubuhan Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri, Saifuddin berkata, ia berfungsi sebagai satu wadah untuk menyalurkan pandangan serta input daripada anggotanya di dalam proses penggubalan dasar-dasar luar negeri yang berkait rapat dengan kepentingan negara.
Katanya, penubuhannya adalah selaras dengan pendekatan terbuka dan bersifat perundingan (Syura) di dalam proses penggubalan Dasar Luar Negeri.
“Pelantikan ahli-ahli adalah berdasarkan pengetahuan serta pengalaman mereka yang menyaksikan gabungan kepakaran daripada pihak kerajaan dan bukan kerajaan ini berupaya untuk menyumbang ke arah proses penggubalan dasar luar negeri yang pragmatik serta berdaya tahan bagi menghadapi cabaran semasa, terutamanya susulan penularan pandemik Covid-19.
“Melalui kaedah ini juga, ia diharap dapat turut memastikan Dasar Luar Negeri selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai titik tumpunya,” katanya. – UTUSAN ONLINE