Keluarga pengawal keselamatan mahu hukuman berat kepada pelaku - Utusan Malaysia

Keluarga pengawal keselamatan mahu hukuman berat kepada pelaku

E. PHILOMENA memegang gambar suaminya, ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Buntong Ria, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli keluarga pengawal keselamatan yang meninggal dunia selepas lapan bulan menanggung derita akibat cedera diserang lelaki dalam kejadian di sebuah kondominium di sini Disember lalu, mahu hukuman mati dikenakan terhadap pelaku.

Isteri S. Thavasagayam, E. Philomena, 59, berkata, perbuatan pelaku itu amat kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila tergamak bertindak kasar dengan suaminya yang sudah tua.

“Suami saya tidak bersalah, dia hanya menjalankan tugas. Lapan bulan dia berulang-alik ke hospital untuk rawatan sehingga terpaksa menjalani lapan pembedahan di bahagian kepala.

“Saya mahu pelaku itu ditangkap segera dan dikenakan hukuman paling berat. Kematian suami saya perlukan keadilan dan orang yang bertanggungjawab perlu dijatuhkan hukuman mati,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Buntong Ria di sini hari ini.

Menurut Philomena, hatinya tidak tenang dan berasa sedih serta marah setiap kali melihat rakaman kejadian yang direkodkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) kondominium berkenaan.

Katanya, dia juga berasa tertekan sehingga hampir kemurungan melihat keadaan suaminya yang bagaikan ‘tiada harapan’.

“Sejak kejadian itu, suami hanya terlantar dan tidak mampu berbuat apa-apa. Banyak kali dia keluar masuk hospital untuk rawatan dan dua hari sebelum kematiannya, dia baru saja pulang ke rumah.

“Doktor memang maklumkan yang tiada harapan lagi, tetapi saya masih berharap dia sembuh. Saya sendiri menyaksikan saat-saat terakhirnya sebelum menghembuskan nafas terakhir,” katanya yang berkahwin dengan Thavasagayam sejak 18 tahun lalu.

Philomena berkata, walaupun berasa amat terkesan dengan kematian lelaki itu, namun dia bersyukur kerana kes melibatkan suaminya diklasifikasi semula sebagai kes bunuh.

“Saya sebagai isteri mahukan keadilan. Tidak kira siapa pun pelaku itu, apa pun statusnya, dia mesti dikenakan hukuman berat,” katanya.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Nelson Raj, 36, berkata, mereka sekeluarga kesal dengan kematian lelaki itu yang disifatkan sia-sia hanya kerana sikap amarah individu lain.

“Bapa saudara sangat baik, dia tidak pernah meninggikan suami dan bercakap kasar malah seorang yang sangat penyayang kepada isteri dan binatang,” katanya.

Dalam kejadian pada 29 Disember lalu, Thavasagayam, 64, yang sedang bertugas di kolam renang kondominium berkenaan cedera di bahagian belakang kepala setelah diserang seorang lelaki.

Kejadian itu berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana cuba menghalang anaknya daripada menggunakan kolam renang yang ketika itu tidak dibuka kepada orang ramai.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam kenyataannya kelmarin berkata, kes tersebut diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada hari mangsa disahkan meninggal dunia, Jumaat lalu.

Katanya, kes tersebut juga telah dirujuk semula kepada pihak pendakwaan dengan mencadangkan pertuduhan yang lebih tinggi dikenakan kepada suspek.

“Kes ini telah diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya