TUMPAT: Pemberian 1.2 juta dos vaksin kepada Kelantan sebagaimana diumumkan kerajaan Pusat semalam bakal membantu negeri ini mencapai imuniti kelompok lebih awal iaitu menjelang akhir bulan ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, jumlah diperuntukkan itu melebihi permohonan asal kerajaan negeri iaitu sejuta dos sekali gus menjadi khabar gembira buat seluruh rakyat Kelantan.
Kata beliau, sehingga hari ini sebanyak 585,000 dos vaksin bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah berada dalam simpanan kerajaan negeri.
“Sekarang secara puratanya sebanyak 30,000 dos vaksin disuntik kepada rakyat di seluruh negeri ini dalam tempoh sehari dan semalam, kita telah berjaya menyuntik 36,394 dos.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar. Pihak kerajaan negeri melalui pusat pemberian vaksin (PPV) serta program Outreach sudah bersiap sedia menjayakan perkara ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Program Outreach Vaksinasi Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Laut, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan memberitahu, suntikan vaksin di SK Kampung Laut melibatkan 2,340 penerima dari Kampung Laut, Palekbang serta Gerong.
Katanya, pemberian vaksin kepada penerima di situ merupakan salah satu persiapan yang dilakukan untuk menghadapi musim tengkujuh kerana kawasan tersebut merupakan antara lokasi mudah ditenggelami banjir. – UTUSAN