SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas akibat terjatuh ke dalam longkang di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, di sini petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.18 petang dan anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira 11 minit kemudian.
Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam ke lokasi kejadian.
Turut dihantar ke lokasi ialah empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Tiga Unit Bermotor Bomba (RIM), dua Fire Rescue Tender dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan maklumat polis, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun itu dikhuatiri hanyut dibawa arus deras di dalam longkang terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Norazam memberitahu, pencarian sedang giat dijalankan di lokasi berkenaan. – UTUSAN ONLINE










