Kanak-kanak 11 tahun ambil vaksin di Negeri Sembilan

Kanak-kanak 11 tahun ambil vaksin

SHARIFAH Nur Syasya Syed Saiful antara penerima vaksin Covid-19 termuda di Negeri Sembilan selesai menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer di PPV Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Pembantu Perubatan), Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, Sharifah Nur Syasya Syed Saiful yang menghidap penyakit diabetis merupakan antara penerima vaksin Covid-19 termuda di Negeri Sembilan. 

Kanak-kanak tersebut selesai menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Pembantu Perubatan), Seremban di sini semalam. 

Ibunya, Nur Hamizah Md. Zin, 34, berkata, anak sulungnya itu dinasihatkan oleh doktor untuk divaksin kerana dikategorikan sebagai golongan berisiko. 

“Anak saya menghidap penyakit diabetis tahap satu sejak enam tahun lalu. Semalam pihak Hospital Tuanku Ja’afar Seremban maklumkan anak saya disenaraikan sebagai penerima vaksin Covid-19 dan perlu disuntik hari yang sama,” katanya di sini hari ini. 

Menurut Nur Hamizah, Sharifah Nur Syasya yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini begitu bersemangat dan teruja untuk menerima suntikan vaksin tersebut.

“Sebagai ibu bapa, saya bersetuju apabila dimaklumkan anak akan divaksin kerana dia berisiko malah dia sendiri yang hendak disuntik dan tidak takut.

“Alhamdulillah, anak tidak mengalami kesan sampingan yang teruk hanya sengal pada tangan selepas disuntik,” katanya yang tinggal di Taman Nusari Bayu, Bandar Sri Sendayan di sini.

Dalam pada itu, Nur Hamizah yang mempunyai empat orang anak berusia sembilan bulan hingga 11 tahun turut berkongsi pengalamannya sekeluarga dijangkiti Covid-19 pada bulan Julai lalu.

“Pada masa itu, saya dan suami telah menerima vaksin dan saya hanya mengalami demam tanpa gejala teruk walaupun saya sendiri ada penyakit tekanan darah rendah.

“Kami sekeluarga menjalani kuarantin kendiri di rumah dan pengalaman itu membuatkan saya sedar tentang kepentingan vaksin,” katanya.

Nur Hamizah turut menasihatkan masyarakat supaya mengambil suntikan vaksin Covid-19 sebagai perlindungan diri selain mengurangkan risiko yang lebih teruk jika dijangkiti virus itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN