KUALA LUMPUR: Hasil kajian terhadap gaji minimum pekerja akan dibentangkan ke Kabinet pada suku keempat tahun ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kajian itu sedang dijalankan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara yang ditubuhkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara.
Katanya, ia selaras dengan Seksyen 25 (1), Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 iaitu Akta 732 yang memperuntukkan kajian terhadap perintah gaji minimum perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua tahun.
“Melalui dapatan ini, kita turut menjalankan Seksyen 25 (3) dan Akta 732 bagi menilai impak keberkesanan perintah gaji minimum bagi memberi implikasinya terhadap pembangunan sosial dan ekonomi negara.
“Dalam melaksanakan kajian semula, usaha diambil bagi membangunkan borang kaji selidik dan menganalisis data diperoleh bagi mendapat perincian kesan langsung perintah gaji minimum 2020 kepada majikan dan pekerja,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kementerian turut mengadakan sesi rundingan awam melibatkan persatuan majikan dan kesatuan sekerja, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang-orang awam bagi mendapatkan pandangan awam.
“Kita juga buat analisis dan kajian data sosial dan ekonomi semasa. Sehingga 1 September 2021, kementerian telah melaksanakan usaha menjalankan enam sesi libat urus mengikut zon dengan dihadiri 209 persatuan majikan, 93 persatuan sekerja dan 4 NGO.
“Dapatan ini akan dibentangkan di suku keempat 2021, maknanya hujung tahun ini dan akan dilaksanakan pada 2022,” katanya.
Pada masa sama, Awang berkata, kementerian mengedarkan borang kaji selidik kepada sampel kajian yang ditetapkan iaitu 1,996 responden majikan dan 1,996 responden pekerja dan melaksanakan kajian persepsi orang awam mengenai perintah gaji minimum.
“Melalui portal disediakan oleh kementerian, jumlah responden adalah 239 yang terdiri daripada 177 pekerja iaitu 74.2 peratus, 25 majikan dengan 10.5 peratus dan 37 responden lain adalah pencari kerja dan orang awam yang bersamaan dengan 15.7 peratus.
“Unsur-unsur lain yang dikenal pasti ialah unsur eksploitasi daripada majikan juga kita melihat dari sudut ini. Jawatan kuasa terus memperhalusi dan menganalisis semua data diperoleh. Laporan dapatan kajian ini akan dibentangkan dan dibahaskan di peringkat majlis sebelum disyorkan dan dipertimbangkan untuk persetujuan kerajaan melalui Kabinet,” katanya.
Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) berhubung tahap pelunasan komitmen kerajaan serta perincian usaha setakat ini dalam kajian semula gaji minimum, seperti dimaklumkan Perdana Menteri semasa ucapan Hari Buruh 2021.
Bagaimanapun, Nurul Izzah menyifatkan tempoh pembentangan kajian itu terlalu lambat dan meminta kementerian supaya mempercepat proses tersebut.
“Bila kita tunggu suku keempat 2021, amat lewat sedangkan semalam Perdana Menteri umum jawapan bahawa 580,000 isi rumah M40 jatuh kategori B40 akibat pandemik Covid-19.
“Maka perlu diambil kira peningkatan paras pendapatan garis kemiskinan daripada kadar sedia ada, ini selari dengan dapatan kami buat di Permatang Pauh yang menunjukkan bahawa sama juga dengan peningkatan paras garis kemiskinan kena selari dengan pengenalan gaji minimum yang lebih bermakna,” katanya.
Bagaimanapun, Awang menjelaskan bahawa kajian gaji minimum sentiasa dilakukan di setiap suku tahun.
“Kita buat kajian di suku pertama, suku kedua dan suku ketiga. Jadi, kajian pada suku keempat adalah hujung tahun akan dibentangkan ke Kabinet, jadi tak boleh umum sekarang.
“Namun, kita ambil kira sebelum membuat kesimpulan dalam suku empat, kita ada beberapa kriteria yang diambil kira, iaitu menggunakan dua indikator ekonomi bagi mengukur paras garis kemiskinan, gaji penengah iaitu kemampuan majikan untuk membayar gaji.
“Jadi kita mengambil masa yang tertentu, kalau setakat Permatang Pauh, ia satu kawasan kecil tapi kita mengambil kira semua keseluruhan, di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, kita jadikan sampling average bagi kita untuk membuat pelarasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE