PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengkaji punca kenaikan harga komponen makanan ayam di pasaran tempatan supaya ia tidak membebankan pengusaha dan pengguna.
Menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pihaknya juga meneliti beberapa faktor lain yang boleh menyumbang kepada kenaikan harga ayam di pasaran tempatan termasuk faktor logistik, perolehan anak ayam dan komponen bagi menghasilkan dedak ayam.
Beliau berkata, pihaknya akui harga komponen makanan bagi menghasilkan makanan ayam akan turut meningkat selari dengan kenaikan harga di pasaran dunia.
“Seperti kita maklum, turun naik harga komponen bagi menghasilkan makanan haiwan seperti jagung dan kacang soya adalah bergantung kepada harga pasaran dunia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Agihan Kadar Dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan (DPK) di sini, hari ini.

Beliau mengulas reaksi kenaikan harga ayam di pasaran tempatan yang kini mencecah RM10 sekilogram sejak minggu lalu.
Sejak awal bulan ini, beberapa negeri merekodkan kenaikan harga ayam di pasar-pasar awam sehingga mencecah RM10 sekilogram sekali gus meresahkan pengguna.
Malah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu turut mengesahkan kenaikan harga ayam segar berlaku disebabkan kekurangan bekalan dan kenaikan harga dedak ayam sejak kebelakangan ini.
Perkara sama turut dilaporkan di Pulau Pinang dan Melaka dimana peruncit mendakwa kenaikan harga ayam tidak dapat dielak ekoran kenaikan harga yang berlaku di peringkat penternak dan pemborong. – UTUSAN ONLINE