JIM nafi MTP sebabkan kelewatan urusan keluar masuk negara - Utusan Malaysia

JIM nafi MTP sebabkan kelewatan urusan keluar masuk negara

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menafikan kemudahan MyTravelPass (MTP) menyebabkan kelewatan urusan perjalanan keluar dan masuk negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, setakat 10 September lalu, sebanyak 356,510 permohonan diterima menerusi MTP.

Beliau berkata, daripada jumlah ini, sebanyak 6,697 permohonan dibatalkan, 208,509 lulus dan 127,465 ditolak.

“Jumlah yang diproses pula ialah 13,000 permohonan yang diuruskan oleh tiga taskforce. Jumlah ini tidak pernah berkurangan malahan meningkat setiap hari,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang mendakwa MTP menyebabkan kelewatan urusan perjalanan urusan keluar masuk negara.

Katanya, inisiatif berkenaan sudah dihebahkan menerusi media pada 7 Oktober tahun lalu malah, turut mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya ingin menegaskan bahawa penguatkuasaan MTP dibuat selaras sekatan perjalanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, penguatkuasaan MTP adalah bagi mengawal pergerakan sebagai langkah pencegahan penularan virus Covid-19.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dan ambil peduli dengan semua pengumuman dan peraturan-peraturan terkini kerajaan serta membuat semakan tentang prosedur berkaitan sebelum merancang perjalanan ke luar negara.

“Selain itu, semua syarat permohonan perlu difahami dan keperluan permohonan seperti lampiran dokumen perlu dipenuhi sebelum menghantar permohonan,” katanya.

Katanya, penilaian teliti perlu dibuat bagi mengelakkan penularan kes import positif Covid-19 merebak masuk ke negara ini.

Jelasnya lagi, JIM sentiasa mengambil langkah proaktif untuk menambah baik sistem MTP bagi memudahkan warga tempatan dan warga asing membuat permohonan perjalanan keluar dan masuk negara.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN