Jalan rosak ancam nyawa 2,000 penduduk tiga taman perumahan

Jalan rosak ancam nyawa 2,000 penduduk tiga taman perumahan

AZAHARI Mahamad menunjukkan jalan yang berlubang di simpang masuk Jalan Taman Puteri, Padang Serai, Kulim, Kedah, semalam. - FOTO/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Lebih 2,000 penduduk di tiga taman perumahan yang menggunakan jalan Taman Puteri, Padang Serai di sini berdepan masalah jalan rosak dan berlubang menyebabkan mereka terdedah risiko kemalangan terutama penunggang motosikal.

Penduduk yang tinggal di Taman Lagenda, Taman Puteri dan Taman Mahsuri itu mendakwa masalah jalan tersebut sudah lama dihadapi namun belum ada kerja-kerja membaiki pulih sehingga kini.

Penduduk Azahari Mahamad, 45, berkata, penduduk di taman perumahan itu menggunakan jalan itu sebagai laluan utama keluar bekerja dan menghantar anak ke sekolah di Tasik Gelugur, Bertam dan Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Ketika sesi persekolahan ramai juga ibubapa yang menghantar anak mereka bersekolah di Kampung Selamat, Pulau Pinang kerana ia bersempadanan dengan Padang Serai.

“Keadaan jalan yang banyak lubang itu membahayakan kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

“Saya telah membuat aduan kepada pihak Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) namun dimaklumkan jalan terbabit masih di bawah seliaan syarikat pemaju perumahan terbabit,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kira-kira lapan lubang besar dan membahaya terdapat di jalan tersebut dan beberapa lubang ditutup sementara dengan sisa bahan binaan seperti batu.

Penduduk Taman Mahsuri, Alias Ibrahim, 35, berkata, dia mendapati beberapa kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku selepas penunggang motosikal terlanggar lubang yang besar itu sehingga terjatuh dan mengalami kecederaan.

“Keadaan bertambah bahaya sekiranya melalui jalan tersebut pada waktu malam,” ujarnya.

Penduduk Taman Lagenda, Mohd. Zulkifli Abdul Aziz, 40, memberitahu, dia pernah terjatuh ketika melalui jalan tersebut selepas terlanggar lubang yang besar ketika pulang bekerja baru-baru ini.

“Kemalangan itu berlaku ketika hujan baru berhenti dan saya tidak nampak lubang yang berada di tepi jalan tersebut. Mujurlah saya tidak mengalami kecederaan,” ujarnya.

Selain itu, tambanya, penduduk juga mengambil inisiatif mengadakan gotong-royong bagi membaiki jalan yang rosak itu untuk keselamatan pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN