Jalan kaki 1 km serbu penempatan PATI - Utusan Malaysia

Jalan kaki 1 km serbu penempatan PATI

SEORANG lelaki warga asing ditemui cuba bersembunyi dalam almari bagi mengelakkan daripada dikesan Jabatan Imigresen dalam satu serbuan di Kampung Sungai Kayu Ara di Petaling Jaya, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer (km) untuk menyerbu sebuah penempatan haram warga asing di sekitar Balakong, semalam.

Kesukaran itu ditempuh berikutan laluan berkenaan sukar dilalui kenderaan yang masuk daripada jalan utama di kawasan tersebut.

Usaha berkenaan membuahkan hasil apabila seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan termasuk melibatkan serbuan di sekitar Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, bermula pukul 10 malam tadi.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi lebih tujuh jam itu menyasarkan beberapa kediaman dan rumah kongsi yang didiami warga asing.

“Seramai 55 individu diperiksa dan 27 daripada mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan Imigresen. Kesemua PATI berusia dua hingga 54 tahun itu terdiri daripada warga Indonesia termasuk tiga kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, selain jauh berjalan kaki, pihaknya mengesan pelbagai taktik dan helah digunakan bagi mengelak dicekup.

“Mereka antaranya bersembunyi di belakang pintu tandas dan almari pakaian selain turut menangis supaya tidak ditahan,” katanya.

Jelas Mohamad Shukri, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen negeri untuk tindakan lanjut.

“Mereka kemudian akan direman selama 14 hari di Depot Imigresen Semenyih bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya turut akan mengesan pemilik rumah, premis perniagaan dan pelindung kepada PATI berkenaan.

“Jika kesalahan itu terbukti, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk didakwa di mahkamah. Justeru, warga asing yang menetap di negara ini secara tidak sah dinasihatkan menyertai program Rekalibrasi PATI yang dibuka hingga hujung tahun ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya