PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus mengambil peluang membuka lembaran baharu dengan membina kepercayaan dan keyakinan semua pihak sejurus selepas pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH), baru-baru ini.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, PH sebelum ini telah menyatakan kesediaan tidak menyulitkan proses undi percaya untuk pentadbiran Ismail Sabri dengan syarat beliau melaksanakan agenda penambahbaikan dan dasar-dasar yang bersifat prorakyat.
Sebaliknya, dakwa beliau, Ismail Sabri masih meneruskan tindakan lama bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan membelakangkan Parlimen.
“Ismail Sabri sepatutnya mengambil peluang di awal pentadbirannya membuka lembaran baharu untuk bina kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan semua pihak sebagaimana dibuat di dalam pertemuan dengan PH bukan dengan meneruskan tindakan Muhyiddin membelakangkan Parlimen,” katanya dalam akaun Twitter beliau hari ini.
Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan kerajaan yang telah dibentuk kerana berpendirian proses pemilihan telah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan teliti dan telus.
Dalam pada itu, Nik Nazmi yang juga Ketua Setiausaha Pengelola PKR berkata, kenyataan Peguam Negara itu yang mengatakan Ismail Sabri tidak perlu buat undi percaya di Parlimen adalah bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, keengganan membuat usul undi percaya kepada Perdana Menteri boleh disimpulkan bahawa Ismail Sabri tidak yakin dengan sokongan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak di Dewan Rakyat.
“Malah tindakan itu mencerminkan Ismail Sabri langsung tidak mahu mempertimbangkan sebarang penambahbaikan yang dicadangkan PH,” jelas Nik Nazmi.
Beliau berkata meskipun Perdana Menteri enggan membuat usul undi percaya, namun Ismail Sabri dijangka berhadapan masalah sama iaitu ketika undian titah Yang di-Pertuan Agong dan Belanjawan 2022. – UTUSAN ONLINE