PUTRAJAYA: Institusi kehakiman Syariah diminta terus proaktif dalam meneroka norma perkhidmatan baharu yang lebih efektif termasuklah memanfaatkan teknologi komunikasi jarak jauh dalam penyampaian perkhidmatan di Mahkamah-Mahkamah Syariah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Islam telah menggariskan dengan jelas objektif utama Syariah atau Maqasid Syariah yang perlu mendasari setiap polisi dan dasar.
Kata beliau, hal ini dilihat melalui kaedah fekah yang bermaksud tindak tanduk imam (pemerintah) terhadap rakyatnya hendaklah didasarkan kepada maṣlaḥah, yang mana kaedah tersebut adalah penting dalam memberi garis panduan kepada pemerintah atau kerajaan dalam urusan membentuk sebarang polisi ke atas rakyatnya.
“Walaupun Mahkamah-Mahkamah Syariah di Malaysia mempunyai bidang kuasa yang eksklusif dan tersendiri di setiap negeri, namun ia bukanlah penghalang bagi institusi ini bergerak secara bersama atas semangat Keluarga Malaysia.
“Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan pentadbiran saya meletakkan kepentingan masyarakat dan rakyat di tempat yang utama. Keluarga Malaysia akan saling bertolak ansur, menggalakkan persefahaman, bekerjasama untuk kebaikan, mengelakkan konflik yang merosakkan dan memfokus kepada persamaan matlamat,” katanya merasmikan Persidangan Kehakiman Syariah Antarabangsa 2021, hari ini.
Persidangan dua hari, mulai hari ini dan esok, dianjurkan Kerajaan Melaka, Majlis Agama Islam Negeri Melaka (MAIM), Yayasan Taqwa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
Ismail Sabri berkata, beliau meletakkan harapan agar para pegawai Syariah sentiasa menghayati semangat kekeluargaan serta tanggungjawab bagi memastikan hukum syarak dilaksanakan dengan adil dan saksama dengan meletakkan standard yang tinggi dalam melaksanakan usaha keadilan Islam.
Kata beliau, semua bertanggungjawab kepada Allah SWT untuk memastikan amanah pentadbiran undang undang Islam di negara ini dapat dilaksanakan dengan baik.
Beliau berkata, sebagai Perdana Menteri Malaysia yang dilantik Yang Di-Pertuan Agong dan sebagai seorang Muslim, beliau berpegang teguh kepada hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang-orang yang dipimpinnya.”
“Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Islam ialah agama bagi Persekutuan. Sehubungan dengan itu, Mahkamah Syariah merupakan institusi Kehakiman Syariah yang mendokong syiar Islam ke atas seluruh umat Islam akan terus dipertahankan serta diperkasakan dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, melalui persidangan antarabangsa seperti ini, perbincangan ilmiah mengenai isu-isu kehakiman Syariah dapat diadakan dan penting dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri-negeri mendapatkan penjelasan berhubung isu isu undang-undang syarak yang kadang-kala agak rumit untuk ditangani secara bersendirian.
Namun, beliau menyedari bahawa tugas dan tanggungjawab para Hakim Syarie dan pegawai syariah amat berat dalam menegakkan hukum berlandaskan agama Islam.
Walau bagaimanapun, katanya, mereka hendaklah menyempurnakan tugas-tugas yang diamanahkan dengan penuh sabar dan ikhlas.
“Hakim Syarie dan pegawai syariah perlu mengamalkan sikap integriti tinggi dan sentiasa dalam keadaan tenang dalam membuat sesuatu keputusan atau melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.
“Nasihat saya kepada semua hakim Syarie dan pegawai syariah seluruh Malaysia hendaklah merapatkan saf dan bersama-sama dengan kepimpinan semasa dalam mencapai usaha-usaha bagi memartabatkan sistem kehakiman syariah di negara ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, sifat kebersamaan dan nilai musyawarah inilah merupakan tunjang bagi prinsip kekeluargaan yang dihasratkan dan bersama-sama untuk menzahirkannya di dalam institusi kehakiman dan perundangan syariah.- UTUSAN ONLINE









