KUANTAN: Gara-gara ingin mendapatkan wang pinjaman dengan mudah, seorang ahli perniagaan kerugian RM12,930 selepas terpedaya dengan sindikit Macau Scam yang menawarkan pinjaman mudah menerusi menerusi laman sosial.
Wanita berusia 21 tahun itu mendapat maklumat tentang syarikat pinjaman wang tersebut ketika melayari internet di rumahnya di Bandar Jengka, dekat Maran, 19 September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa menghubungi kakitangan syarikat itu dan berurusan dengan suspek dikenali sebagai ‘Miss Anie’.
Menurutnya, mangsa menyatakan hasratnya membuat pinjaman wang berjumlah RM10,000.
“Suspek memaklumkan bahawa pinjaman diluluskan dan namun mangsa perlu menghantar maklumat peribadi bagi tujuan pemprosesan pinjaman itu.
“Kemudiannya, mangsa diminta membuat pembayaran bagi mempercepat proses kelulusan pinjaman dan suspek meminta dipindahkan sejumlah wang ke nombor akaun diberikannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, ekoran daripada perbincangan mereka, mangsa membuat 13 kali transaksi pemindahan wang ke enam akaun diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM12,930.
“Mangsa yang berasakan dirinya menjadi mangsa penipuan mula bimbang maklumat peribadinya disalah guna syarikat berkenaan.
“Kemudian, mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Jerik, Maran, semalam. Kes tersebut disiasat di bawah Ssksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN ONLINE