Hantar pulang atau kebumi mayat di sini - KJ - Utusan Malaysia

Hantar pulang atau kebumi mayat di sini – KJ

KERATAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan bekerjasama rapat dengan pihak kedutaan asing berhubung masalah mayat warga asing yang meninggal du­nia akibat Covid-19 belum dituntut kedutaan masing-masing dan ‘terbiar’ di beberapa hospital kerajaan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sedang berusaha menghubungi waris mereka melalui kedutaan asing supaya proses penghantaran pulang mayat atau pengkebumian dapat dilakukan di sini.

“Kita bekerjasama rapat dengan Wisma Putra dan pihak kedutaan asing untuk menguruskan mayat warga asing ini yang meninggal akibat Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan masalah lambakan mayat warga asing di hospital-hospital kerajaan dan di Hospital Serdang sahaja terdapat kira-kira 20 mayat war­ga asing ditempatkan dalam bilik mayat kerana urusan mendapatkan kebenaran daripada pihak kedutaan masih tergendala dan masalah yang sama dipercayai turut berlaku di beberapa hospital lain di Lembah Klang.

Katanya, lambakan mayat warga asing yang tidak dapat diuruskan itu berpunca daripada sikap kedutaan warga ­asing terbabit mengambil mudah urusan pengesahan, dokumentasi dan pengurusan mayat terutama melibatkan rakyat Bangladesh dan Indonesia.

Keadaan itu diburukkan de­ngan kematian yang ramai dalam kalangan warga asing dengan terbaharu sebanyak 53 kematian yang disahkan akibat Covid-19 setakat 1 September lalu dengan 34 orang mati di rumah manakala selebihnya meninggal dunia di hospital.

Terbaharu, statistik Kementerian Kesihatan mencatatkan daripada 16,942 kes kematian akibat Covid-19 sehingga kelmarin, kira-kira 2,000 membabitkan warga asing.

‘Lambakan’ kematian dalam kalangan warga asing itu memberi implikasi kepada tugas hospital serta sukarelawan di unit forensik selain masalah penempatan mayat bagi kes selain Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN