Guru enggan vaksin perlu fikir soal pelajar - MB Johor

Guru enggan vaksin perlu fikir soal pelajar

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Guru-guru di negeri ini yang masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 diingatkan untuk memikirkan soal pelajar apabila sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah kembali dibuka semula.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kesan daripada tindakan guru-guru ini yang menolak pengambilan vaksin akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran para pelajar. 

Katanya, kesemua guru yang terbabit diharap mempertimbangkan pengambilan vaksin demi keselamatan dan kesihatan semua pihak termasuk pelajar. 

“Kepada guru-guru yang masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19, fikirkanlah mengenai kesannya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran para pelajar. Kita tidak mahu proses itu terjejas, pengambilan vaksin amat penting dalam menjaga keselamatan dan kesihatan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, Hasni berkata, mereka akan tetap memberi tumpuan bagi meningkatkan kadar vaksinasi supaya segera mencapai imuniti kelompok 90 peratus seperti yang disasarkan setelah kadar vaksinasi sehingga semalam adalah pada tahap 73.3 peratus dengan seramai 1,988,503 warga dewasa sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Katanya, semua agensi yang berkaitan akan terus memperhebatkan program vaksinasi termasuk secara ‘outreach’ dan ‘walk-in’ bagi mempercepatkan lagi usaha mencapai sasaran 90 peratus imuniti kelompok. 

“Alhamdulillah, Johor kini beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun Johor harus terus berusaha gigih meningkatkan kadar vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok 90 peratus yang disasarkan.

“Bagi mempercepatkan usaha mencapai sasaran tersebut, semua agensi berkaitan akan terus memperhebatkan program vaksinasi termasuk secara ‘outreach’ dan ‘walk-in’ serta menghantar pasukan petugas ke kawasan yang dikenal pasti bagi memberi suntikan khusus kepada golongan berkeperluan khas,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasni memberitahu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja berusia 12 hingga 18 tahun yang telah pun bermula Isnin lalu berjalan dengan lancar.

Katanya, beliau berharap program yang dilaksanakan itu mendapat kerjasama sebaiknya oleh penjaga dan ibu bapa pelajar masing-masing dengan memberi keizinan yang menjadi syarat utama pelaksanaannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya