SHAH ALAM: Sebanyak 94 lori tangki digerakkan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) bagi membekalkan air di sekitar 463 kawasan yang mengalami gangguan bekalan tidak berjadual terutama premis-premis kritikal.
Usaha itu adalah untuk meminimumkan impak gangguan bekalan air susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Semenyih yang melibatkan Putrajaya serta lima daerah di Selangor seperti Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.
Air Selangor dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penghantaran bekalan air diharapkan dapat memenuhi keperluan minimum pengguna terutama semasa peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.
“Air Selangor berharap orang ramai mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka dan menjaga jarak satu meter.
“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” katanya.
Terdahulu, LRA terpaksa henti tugas sekali lagi pada pukul 5.15 petang semalam apabila pencemaran bau sehingga 2 ton yang dikesan di Stesen Pemantauan Pusat (RMS) Kampung Sungai Buah, pukul 4 petang sebelum itu pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.
Henti tugas berkenaan menyebabkan gangguan di 172 kawasan dalam daerah Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (194), Kuala Langat (20) dan Putrajaya (23).
Sementara itu, semalam Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, sebuah kilang di kawasan perindustrian di Jenderam Hilir, Sepang disyaki menjadi punca pencemaran bahan penyebab bau.
Beliau berkata, insiden berulang di lokasi sama dalam tempoh kurang dari satu minggu tersebut amat mendukacitakan dan perbuatan tidak bertanggungjawab penjenayah alam sekitar itu perlu dikenakan tindakan tegas.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan LRA Sungai Semenyih di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pada Selasa lalu terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran bau pukul 12 tengah hari.
Namun, LRA itu mula kembali beroperasi selepas bacaan bau tahap 0 Ton direkodkan tiga kali berturut-turut di Sungai Semenyih selepas pembuangan efluen dikesan yang menyebabkan henti tugas. – UTUSAN ONLINE