ISKANDAR PUTERI: Sindiket perjudian dalam talian menggajikan warga tempatan sebanyak RM2,000 sebulan untuk melakukan kerja-kerja manakala dalang sebenar hanya bergerak di belakang tabir.
Sindiket terbabit turut menjanjikan komisen sebanyak 20 peratus berdasarkan jumlah carian pelanggan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar yang mendedahkan perkara itu berkata, maklumat berkenaan dimaklumkan lapan suspek yang ditahan pihaknya berkaitan sindiket terbabit.
Menurut beliau, empat lelaki dan empat perempuan berusia antara 17 hingga 30 tahun itu ditahan menerusi Op Dadu yang dijalankan pihaknya di sebuah rumah di Bukit Indah, di sini pada pukul 5.30 petang, semalam.
“Semasa serbuan dijalankan, seramai empat lelaki dan empat wanita yang mana semuanya warga tempatan telah ditangkap.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati sindiket perjudian dalam talian itu telah beroperasi di rumah tersebut lebih kurang dua bulan dan menyasarkan pelanggan dari negara ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Dzulkhairi, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan berkaitan antaranya lapan komputer, 28 telefon bimbit pelbagai jenama, enam helai kertas tercatit cara-cara bekerja dan promosi perjudian, dua kad akses, dua unit router, dua modem wifi, serangkai kunci dan wang tunai RM570.
“Lapan set komputer yang dirampas telah dirujuk ke pakar judi dan terdapat unsur-unsur pertaruhan perjudian dalam talian yang menggunakan beberapa laman sesawang,” ujarnya.
Tambah beliau, kegiatan itu beroperasi selama 24 jam setiap hari dan dibahagikan kepada dua syif di mana segala bayaran dibuat melalui transaksi oleh pelanggan menggunakan 12 akaun bank tempatan dengan jumlah kutipan harian kira-kira RM10,000.
Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN ONLINE