Dua remaja ditahan lakukan aksi ‘Superman’ di jalan raya - Utusan Malaysia

Dua remaja ditahan lakukan aksi ‘Superman’ di jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan dua remaja yang melakukan aksi zig zag, roket dan Superman serta bersaing sesama sendiri di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) di sini, malam tadi.

Kedua-dua lelaki berusia 19 tahun dan 20 tahun itu ditahan semasa Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar dan bakal didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kata beliau, menerusi operasi itu juga, sembilan lelaki berusia lingkungan 25 tahun hingga 33 tahun turut ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45(A) APJ 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Beberapa operasi sama dan Op Motosikal turut diadakan secara bersasar di kawasan yang mempunyai aduan di sekitar pusat bandar.

“Sejak 17 September lalu, sebanyak 551 saman dikeluarkan menerusi operasi yang dilaksana di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut, Jalan Loke Yew dan di Lebuhraya Duke,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Sarifudin, pihaknya turut menyita 12 motosikal mengikut mengikut Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan ekzos.

“Pemeriksaan dibuat  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk arahan mengubah kembali kepada struktur asal,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN