Dua pasar di Georgetown diarah tutup susulan Covid-19 - Utusan Malaysia

Dua pasar di Georgetown diarah tutup susulan Covid-19

PASAR Lebuh Cecil dan pasar Chowrasta di Georgetown diarahkan ditutup susulan terdapat kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan peniaga dan pekerja di situ.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Dua pasar awam di pusat bandar iaitu pasar Lebuh Cecil dan pasar Chowrasta di sini, diarahkan tutup susulan terdapat kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan peniaga serta pekerja di situ.

Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), penutupan pasar Lebuh Cecil melibatkan 182 gerai (bahagian keluaran pasar).

“Bagi pasar Chowrasta pula, penutupan melibatkan 157 gerai aktif, 56 gerai di kompleks makanan serta 62 penjaja sementara di luar premis.

“Terdapat lapan kes Covid-19 positif di pasar Lebuh Cecil dan 14 kes Covid-19 positif di pasar Chowrasta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa pasar dan kompleks makanan di bahagian pulau dan Seberang Perai, antaranya pasar Padang Tembak, Pasar Seberang Jaya, pasar Mak Mandin, pasar borong Pulau Mutiara, pasar Taman Chai Leng, pasar Jalan Perak dan pasar Bukit Mertajam diarah tutup akibat jangkitan Covid-19.

Kenyataan itu memaklumkan, penutupan sementara itu yang berkuat kuasa serta merta adalah untuk memudahkan kerja pembasmian kuman dan pembersihan.

“Penilaian risiko Covid-19 akan dilakukan bersama oleh MBPP dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di kedua-dua lokasi untuk mengelakkan penyebaran Covid-19,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN