KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kecoh sebentar apabila Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mencabar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk berdebat berhubung isu dasar kabotaj negara.
Cabaran itu dibuat secara terbuka susulan Guan Eng tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuatnya berhubung isu itu di Dewan Rakyat.
“Saya sedia berdebat dengan (Ahli Parlimen) Bagan, dulu kata saya tak layak jadi Presiden MCA.
“Sekarang saya cabar (Ahli Parlimen Bagan), satu jam kita boleh bincang dalam apa-apa program,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Ka Siong menegaskan, beliau boleh berdebat selama sejam tentang apa sahaja isu termasuklah isu dasar kabotaj.
Cabaran itu kemudiannya disahut Guan Eng yang beliau sanggup berdebat dengannya, namun tidak menjelaskan masa dan tarikh untuk perdebatan itu diadakan.
“Saya terima cabaran daripada Menteri, bila-bila sila tetapkan masa. Saya akan datang,” kata Guan Eng.
Terdahulu, Guan Eng meminta Menteri Pengangkutan menyatakan status kehilangan pelaburan luar negeri daripada projek Apricot, Facebook dan Google dan anggaran RM12-RM15 bilion oleh MDEC ekoran dasar Kerajaan PN yang membatalkan pengecualian kabotaj untuk syarikat teknologi tinggi yang diberikan oleh Kerajaan PH.
Jelas Ka Siong, pembatalan Pengecualian Dasar Kabotaj hanyalah kepada kerja pembaikan kabel dasar laut ini dan ia tidak menghalang kemasukkan pelaburan asing dalam industri digital.
“Projek Apricot adalah projek pemasangan kabel, baik semasa zaman pemerintahan BN, PH atau Kerajaan sekarang, di mana polisinya tetap sama iaitu masih tertakluk kepada Dasar Kabotaj yang diamalkan sejak tahun 1980.
“Ini dapat dilihat melalui pelaksanaan projek kabel dasar laut baharu seperti MIST Cable System yang menghubungi Malaysia, Singapura, Myammar, Thailand dan India serta India-Asia Xpress Cable System,” katanya. – UTUSAN