Covid-19 tidak halang eksesais latihan di laut Malaysia-Australia - Utusan Malaysia

Covid-19 tidak halang eksesais latihan di laut Malaysia-Australia

KAPAL HMAS Canberra, HMAS Anzac dan KD Lekiu belayar dalam formasi semasa MASTEX 2021 di perairan Selat Melaka selama tiga hari bermula Khamis lalu dan berakhir semalam. - UTUSAN/IHSAN TLDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pandemik Covid-19 yang masih menyelubungi dunia tidak menghalang semangat kerjasama dan diplomasi pertahanan yang sedia utuh terjalin antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Royal Australian Navy (RAN).

Ia dibuktikan menerusi pelaksanaan Eksesais Latihan di Laut Malaysia-Australia atau Malaysia-Australia Sea Training Exercise (MASTEX) 2021 di perairan Selat Melaka selama tiga hari bermula Khamis lalu dan berakhir semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut dalam kenyataannya berkata, eksesais bilateral tahunan berkonsepkan Eksesais Latihan di Medan (FTX) yang wujud sejak 2002 itu bertujuan memperkukuh operasi bersama serta kerjasama strategik pertahanan maritim melalui kaedah perkongsian idea dan kepakaran di lapangan.

“Kedua-dua angkatan laut terus mempamerkan komitmen menerusi penglibatan tiga aset TLDM, iaitu Kapal Diraja (KD) Lekiu, KD Jebat serta helikopter Super Lynx dan empat aset RAN iaitu HMAS Canberra, HMAS Anzac serta helikopter CH47 dan MH-60S dari Australian Maritime Task Group.

“Turut serta menjayakan eksesais adalah dua pesawat F/A 18D dan dua pesawat Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, beberapa siri latihan direalisasikan meliputi peperangan anti-serangan udara, anti-kapal selam, penembakan sasaran permukaan, manuvra taktikal dan pengoperasian bot.

Jelasnya, kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut tersebut.

Menurutnya, secara keseluruhan eksesais itu berjaya memenuhi matlamat dan objektif yang telah ditetapkan.

“TLDM akan terus komited memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut sahabat dalam memacu ketersediaan warga untuk melindungi serta mempertahankan kepentingan maritim negara pada sebilang masa,” jelas kenyataan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN