PUTRAJAYA: Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) menyasarkan 60 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini dan 80 peratus remaja mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.
Bagi tujuan itu, Kementerian Kesihatan membangunkan portal pendaftaran institusi pendidikan iaitu Portal Vaksin-Anak-Ku sebagai langkah awal dalam pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja dengan keutamaan mereka berumur 16 dan 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan awam dan remaja dengan komorbid.
CITF-A yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, semua sekolah, institusi pendidikan, perlindungan dan pemulihan kerajaan dan swasta dimohon untuk mendaftarkan institusi masing-masing di portal tersebut.
Katanya, ibu atau bapa dan penjaga kepada remaja disarankan mendaftarkan anak mereka sebagai tanggungan di dalam aplikasi MySejahtera bagi membolehkan golongan itu mendapatkan sijil vaksinasi digital MySejahtera masing-masing.
“Jenis vaksin yang digunakan adalah Comirnaty (keluaran Pfizer Bio-NTech) dengan dua dos suntikan. Vaksin tersebut mendapat kelulusan berstatus pendaftaran bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut CITF-A, proses pemberian vaksin kepada remaja dilakukan melalui tiga kaedah iaitu kaedah pertama secara jangkau luar (outreach) ke sekolah atau institusi secara berjadual.
Katanya, pemberian vaksin dibuat Pasukan Pelaksana Vaksinasi yang terdiri daripada kakitangan kesihatan, pengamal perubatan swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perubatan.
Bagi memudahkan remaja yang akan menduduki peperiksaan utama bersekolah di sekolah berasrama penuh atau asrama harian, CITF-A menjelaskan, janji temu vaksin bagi dos pertama diberikan di klinik swasta atau sekolah berhampiran dengan tempat tinggal mereka, manakala dos kedua diberikan di sekolah masing-masing atau di lokasi pemberian dos pertama sekiranya sekolah mereka belum beroperasi.
“Kaedah kedua pula, khusus untuk remaja dengan komorbid yang mana mereka perlu mendapatkan vaksinasi di hospital atau klinik kesihatan yang merawat mereka.
“Bagi kaedah ketiga, remaja yang tidak dapat hadir bersama ibu atau bapa atau penjaga, mereka akan diberikan janji temu ke klinik kesihatan swasta berdekatan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.
Jawatan kuasa bertindak CITF-A yang ditugaskan membuat penetapan dasar dan penyelarasan pelaksanaan pelan vaksinasi remaja itu akan memastikan sasaran tersebut dapat dicapai dan kerjasama dari semua agensi diperlukan.
CITF berperanan mengkoordinasi strategi dan tindakan pelaksanaan di peringkat Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dan agensi swasta terlibat yang mana keanggotaannya terdiri daripada pelbagai agensi berkepentingan seperti Kementerian Kesihatan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Pendidikan; ProtechHealth; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Jabatan Kebajikan Masyarakat; Bahagian Pendidikan Mara; Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Penjara, dan Jabatan Imigresen. – UTUSAN