Broker jual jam tangan RM40,000 kepada ahli perniagaan

Broker jual jam tangan RM40,000 kepada ahli perniagaan berkaitan kes Guan Eng

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang broker jam memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa pernah menjual satu jam tangan mewah bernilai RM40,000 kepada seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menurut G. Rajan, 66, dia telah membeli satu jam tangan mewah dengan harga RM20,000 dan kemudian menjualnya kepada Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli pada harga RM40,000.

Kata saksi pendakwaan itu, dia mengenali Zarul Ahmad menerusi seorang rakan sekitar 10 tahun lalu dan ahli perniagaan itu telah memintanya untuk mendapatkan jam tangan Maurice Lacroix antara 2015 dan 2016.

Berhubung perbezaan harga jam dengan nilai jualan tersebut, Rajan kenaikan harga seumpamanya biasa terjadi khususnya membabitkan barangan mewah.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas peguam mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo, Rajan menjelaskan bahawa dia diberitahu oleh Zarul Ahmad bahawa kadang-kadang pengarah syarikat itu membeli jam tangan untuk kakitangannya dan kadang-kadang untuk dirinya sendiri.

Saksi itu juga bersetuju dengan Gobind bahawa dia tidak pernah berjumpa dengan Guan Eng atau mempunyai hubungan dengan tertuduh.

Pada hari ini ditetapkan perbicaraan kes Guan Eng, 60, yang didakwa terhadap tuduhan pindaan menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR dengan pendakwaan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau turut didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini dan pendakwaan dibuat mengikut di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi akan disambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya