Beri kebenaran rentas negeri bagi yang lengkap vaksin 

Beri kebenaran rentas negeri bagi yang lengkap vaksin 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak kerajaan segera membentangkan perancangan yang telah dibuat dalam senarai pengurangan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak termasuk kebenaran merentas negeri.

Timbalan Ketuanya, Muhammad Taqiuddin Cheman berkata, SOP yang digariskan itu perlu memberikan kebenaran untuk rakyat merentas negeri bagi membolehkan mereka berjumpa ibu bapa dan ahli keluarga.

MUHAMMAD TAQIUDDIN CHEMAN

Katanya, Pemuda Amanah Nasional  juga mempersoalkan mengenai perbezaan dalam menetapkan gelembung pelancongan Langkawi dengan pergerakan merentas ke negeri-negeri yang lain.

“Sekiranya kebenaran merentas negeri tidak dibenarkan pada waktu terdekat, rakyat berhak untuk mengetahui apakah pelan yang dibuat oleh kerajaan selepas lapan bulan arahan larangan tersebut dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan baru-baru ini menyatakan kebenaran merentas negeri tidak termasuk dalam senarai SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tambah Muhammad Taqiuddin, kerajaan wajar memberi kelonggaran yang bersesuaian kepada mereka yang telah lengkap divaksin serta menyediakan SOP lebih awal supaya rakyat dapat bersedia untuk mematuhi SOP yang digariskan.

“Kes kematian yang berpunca daripada tekanan perasaan akibat tidak dapat bertemu keluarga, kesempitan hidup dan kemurungan melampau yang berlaku sebelum ini seharusnya menjadi pengajaran,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang.

Oleh yang demikian katanya, kerajaan mesti mengambil langkah yang sesuai supaya insiden sedemikian tidak lagi berulang dengan memberikan mereka peluang balik berjumpa orang tersayang.

Sehubungan dengan itu, Pemuda Amanah meminta keputusan tersebut dikaji semula dengan  memberikan kelonggaran untuk merentas negeri dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Setelah lapan bulan dikurung tanpa dibenarkan untuk balik menjenguk ibu bapa, telah sampai masanya kerajaan memberikan simpati kepada anak-anak rantau yang kerinduan dengan keluarga mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN