SUNGAI PETANI: Bapa kepada anggota tentera daripada 10 Briged Para yang ditemukan lemas di Sungai Pahang di Kampung Batu di Bera, Pahang tidak sabar menunggu ketibaan jenazah anaknya yang dijangka dibawa pulang untuk dikebumikan di sini esok.
Mohamad Isa Osman, 58, berkata, dia bersyukur kerana berpeluang untuk menatap wajah anaknya, Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin buat kali terakhir.
“Ajal maut bukan kerja kita, tetapi saya dan keluarga tetap gembira sebaik selepas menerima berita jenazahnya ditemukan selepas dilaporkan hilang sejak Ahad lalu.
“Sekurang-kurangnya saya dapat melihat wajahnya buat kali terakhir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Aman, Sungai Lalang di sini hari ini.
Mayat Mohamad Azrin ditemukan oleh penduduk di Kampung Serengkam, Maran, Pahang kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian.
Mohamad Azrin dipercayai lemas selepas hilang di Sungai Pahang di Kampung Batu Bor di Bera pada 29 Ogos lalu ditemukan hari ini.
Mohamad Azrin yang merupakan anggota Tinjau dari pasukan Kompeni Pandura (Para) dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Bera.
Semasa kejadian, anggota sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor kira pukul 4.40 petang.
Mohamad Isa yang juga merupakan bekas anggota tentera berkata, dia kali akhir bertemu dengan Mohamad Azrin pada Januari lalu ketika anaknya itu pulang bercuti di sini.
Selain itu katanya, anak lelaki tunggalnya itu adalah anak kedua daripada empat beradik dan disayangi kakak dan dua adik perempuannya kerana mempunyai sikap enyayang.
“Walaupun tegas dalam soal kerja tetapi dia sangat mengambil berat ahi keluarga dan amat disenangi kami semua.
“Memang kehilangannya amat terasa tambahan lagi dia baharu sahaja bergelar bapa kepada seorang anak yang baru berusia lapan bulan,” jelasnya.
Mohamad Isa menambah, jenazah Mohamad Azrin dijangka diterbangkan dari Kuantan sebelum dibawa pulang ke rumahnya dan disolatkan di Surau Al-Firdaus di sini serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam, Laguna di sini.