Bantu lima golongan usahawan sasaran 100 hari KPUK - Utusan Malaysia

Bantu lima golongan usahawan sasaran 100 hari KPUK

NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lima golongan usahawan yang terjejas akibat pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenal pasti akan menjadi tumpuan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KPUK) untuk dibantu.

Lima kategori usahawan itu termasuk golongan yang hendak memulakan perniagaan, usahawan yang diberhentikan kerja, asnaf berniaga, mahasiswa mahu berniaga dan usahawan yang bangun tanpa sebarang bantuan tetapi terjejas akibat PKP.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, satu jawatan kuasa khas akan dibentuk dan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Suriani Ahmad bagi menyelaraskan semua bentuk bantuan dan kemudahan yang wujud di bawah sembilan agensi berkaitan bagi membantu usahawan mikro dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).l

“Sebagai contoh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) maksimum boleh dipinjam RM50,000; Tekun Nasional (Tekun) RM50,000 hingga RM100,000; Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) RM100,000 hingga RM10 juta dan SME Bank boleh pinjam lebih RM10 juta. 

“Inilah dia antara beberapa perkara yang saya akan tekankan di bawah kementerian. Kita ingin menggalakkan bahawa usahawan yang terjejas, mereka diberhentikan kerja, mahasiswa yang hendak jadi usahawan dan golongan asnaf, kita akan beri keutamaan,” katanya.

Terdahulu beliau ditemui ketika membuat lawatan ke sebuah rumah bekas tentera tidak berpencen di Kampung Parit 3 Sungai Burong, Tanjong Karang yang menerima bantuan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan dalam Program Jiwa Murni.

Yang hadir sama dalam program berkenaan adalah Panglima 4 Divisyen Kem Wardiburn, Setapak, Major Jeneral Datuk Ya’cob Samiran.

Noh kemudian meneruskan lawatan ke Kampung Sungai Gulang-Gulang menyempurnakan penyerahan sumbangan Pertubuhan Kebajikan Sosial Pekerja (Perkeso) kepada Rabiatul Izzati Temuri yang baharu melahirkan anak kembar dan kehilangan suami pada bulan lalu akibat Covid-19.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Pembangunan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) itu turut memaklumkan dasar yang diberitahu menjadi penanda aras baginya dalam tempoh 100 hari selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya selesai mendengar taklimat daripada agensi di bawah kementerian. Ada sembilan agensi antaranya ada dua bank iaitu Bank Rakyat dan juga SME Bank, di bawah ini juga ada Pihak Berkuasa Pembangunan Bandar (UDA), Tekun dan beberapa jabatan yang lain. 

“Saya lihat jabatan ini ada perancangan untuk membantu usahawan jadi kerana itu dalam sasaran 100 hari yang diberi Perdana Menteri, insya Allah saya akan memberikan tumpuan kepada kumpulan berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN