MELAKA: Lebih 10,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersedia untuk digerakkan dalam tempoh 24 jam ke seluruh negeri yang dilanda bencana sepanjang tempoh tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan November depan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Dr. Norhafifi Ismail berkata, maklumat tepat mengenai kekuatan anggota itu bagaimanapun masih di peringkat kajian yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.
“Sebelum ini kita memang menghantar pasukan sokongan antara 10,000 hingga 15,000 anggota untuk membantu negeri-negeri yang dilanda banjir, namun sukarelawan terlibat adalah tidak tetap dan berubah-ubah.
“Justeru, pada tahun ini, APM melaksanakan kajian senarai tetap anggota dari seluruh negera bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan dengan lebih berstruktur dan dijangka lebih 10,000 anggota bersedia untuk digerakkan dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC, di sini hari ini.
Tambahnya, setakat ini, Melaka merupakan negeri pertama yang telah melengkapkan kajian tersebut dengan mengkoordinasikan seramai 1,200 anggota untuk bantuan bencana di negeri lain, khususnya Pantai Timur.
Mengulas lanjut, beliau berkata, laporan lengkap kajian tersebut dijangka diperolehi pada awal November depan.
“Walaupun Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran Monsun Timur Laut tidak selebat tahun sebelum ini, namun kami tetap perlu bersedia lebih awal menghadapi sebarang kemungkinan. Selain itu, kita juga telah melalui pengalaman di mana negara dilanda banjir dan Covid-19 dalam waktu yang sama, menyebabkan penggunaan logistik dilakukan secara maksimum.
“Jadi, pasukan bantuan dari negeri lain yang tidak dilanda bencana perlu digerakkan bersama-sama aset mereka, kerana sebagai contoh sebelum ini satu trak mungkin boleh dinaiki 30 orang tetapi selepas dilanda Covid, kita boleh membawa 15 mangsa sahaja,” jelasnya. – UTUSAN