PETALING JAYA: “Saya sokong juga Tuan Berhormat jadi Timbalan Speaker yang ketiga.”
Demikian respons Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN) apabila sesi pembahasannya di Dewan Rakyat hari dicelah oleh Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming (PH).
Kor Ming menyatakan pendiriannya menyokong kenyataan Azalina yang mempertikai keputusan kerajaan untuk meneruskan rayuan mahkamah berkaitan isu pemberian kerakyatan kepada kanak-kanak menerusi permohonan ibu.
“Kami sokong 100 peratus berkaitan isu kerakyatan kanak-kanak itu. Kita minta kerajaan tarik semula rayuan mahkamah isu tersebut dengan kadar segera,” kata Kor Ming di Dewan Rakyat hari ini.
Suasana Dewan Rakyat ketika itu menjadi riuh rendah seketika selepas kedua-dua ahli Parlimen itu saling menyokong satu sama lain walaupun berlainan blok di Parlimen. – UTUSAN