"Awak kena pertahankan BN, saya faham" - Hans Issac - Utusan Malaysia

“Awak kena pertahankan BN, saya faham” – Hans Issac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bukan seorang pengecut, pengarah dan aktor terkenal, Datuk Hans Issac membalas ‘hentaman’ pelawak, Shahrol Shiro yang dilihat teguh mempertahankan prinsip dan sokongannya terhadap barisan Kabinet baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, seakan tidak mahu memanjangkan perdebatan, Hans dilihat memilih untuk membiarkan Shahrol tampil dengan penjelasan tersendiri sambil berharap agar Shahrol tidak ‘goyang’ dengan hantaran video terdahulu.

“Tak apalah, awak boleh berikan penjelasan apa pun. Ia adalah hak awak. Harap awak okey dan tak goyang dengan hantaran video itu.

“Saya dah tak fokus pada hantaran video itu. Sebab niat saya ikhlas. Awak kena pertahankan BN. Saya faham . Semoga maju jaya,” katanya ketika membalas kenyataan Shahrol di ruangan komen pelawak tersebut.

Sebelum itu, semalam Shahrol telah memuat naik satu kenyataan berbentuk penjelasan yang menyelar tindakan Hans memuat naik satu video ceramah dipercayai dari Indonesia yang menyentuh mengenai isu pemilihan menteri.

Menerusi video itu, dipaparkan seorang penceramah mendakwa dalam jenaka bahawa pemilihan menteri dibuat hanya bertanyakan soalan sifir dua darab dua.

Video yang dikongsikan oleh Hans dengan kapsyen bertulis ‘beri pendapat anda’ itu telah mendapat jumlah tontonan sebanyak 50,000 dan dipercayai ditujukan kepada barisan Kabinet baharu kini.

Dalam pada itu, Hans dalam satu hantaran lain di Instagramnya menjelaskan dia berkongsi video ilmuan hebat Indonesia itu kerana kagum dengan karisma tinggi yang dimiliki dalam bidang dan ilmunya.

“Bila saya menontonnya, saya dapat melihat betapa hebatnya pemikiran yang cuba dilontarkan oleh tokoh ini dalam bentuk pengalaman dan penceritaan.

“Namun dalam komen sahabat saya saudara Shahrol Shiro telah mengaitkan video itu dengan pemilihan kabinet PM baru-baru ini. Jujur saya katakan, ia sangat tersasar. Mungkin kandungan pidato itu secara kebetulan menyebut soal pelantikan menteri tetapi konteks sebenar lebih kepada ilmu politik itu sendiri,”katanya.

Selain itu, berkongsi mengenai perihal video tersebut, Hans mendakwa tiada kesalahan untuknya memuat naik video itu di media sosial meski tidak pernah mengenali penceramah itu secara peribadi.

“Dalam pada saya menonton video tersebut, saya diberitahu bahawa tokoh tersebut sedang berada di hospital dalam keadaan yang sangat tidak sihat. Rakan-rakan di sekitarnya sedang giat mendoakan agar tokoh ini segera sembuh.

“Saya tidak mengenalinya tetapi saya dimaklumkan bahawa tokoh ini sangat petah berpidato dan saya dikongsikan satu video mengenai beliau. Dengan hanya satu tontonan, saya terhibur dan memahami realiti yang disampaikan, maka saya kongsikan di media sosial saya. Apakah ini adalah satu kesalahan? Mari kita fikirkan bersama.

“Pada 31 Ogos 2021, saya diberitahu bahawa tokoh ini telah pun meninggal dunia pada pukul 6.32 petang. Mungkin saya adalah penyanjung dihujung usianya tetapi saya mengakui kehebatannya. Buktinya, dengan hanya satu video pidatonya berdurasi 2.19 minit, ia telah menggegarkan media sosial di Malaysia dan memanaskan kerusi yang sejuk,”katanya.

Hans juga sempat melayangkan ucapan takziah buat keluarga tokoh tersebut yang dikenali sebagai Allahyarham Datuk Dr. Siddiq Fadzil selain meminta agar Shahrol bertenang.

“Tenang-tenang saja. Kalau ada impian tersirat, tak kan lari gunung dikejar. Dalam norma baru, amalkan duduk berbincang, bukan menyerang tanpa pedoman. Malaysia perlukan pemimpin yang terbuka. Mungkin anda sebahagian darinya. Masa akan beritahu,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya