BANGKOK: Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan- M. Thinaah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menamatkan penantian 10 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas acara beregu wanita pada Sukan SEA Thailand 2025, semalam.
Pasangan negara itu mempamerkan aksi luar biasa apabila mereka dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dalam aksi rubber set 21-16, 19-21, 21-17.
Kejayaan manis tersebut sekaligus mengulangi pencapaian kali terakhir skuad negara memenangi emas dalam acara tersebut menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada Sukan SEA 2015 di Singapura.
Pearly mengakui, hasrat melihat Jalur Gemilang di podium kemenangan menjadi impiannya dan enggan terus menyerah kalah, terutamanya ketika diasak hebat dan ketinggalan pada set penentuan.
“Saya tahu pada set kedua kami mendahului, tetapi kami tergesa-gesa hingga hilang mata. Jadi pada set penentuan, walaupun lawan mendahului, kami berpegang kepada prinsip tidak menyerah kalah.
“Saya memang sangat-sangat mahu menyanyikan lagu Negaraku. Saya tidak mahu berputus asa dengan mudah. Jujurnya, saya rasa hampir menangis , tetapi disebabkan terlalu penat, air mata tidak keluar. Apa pun, saya sangat bangga dapat mendengar lagu kebangsaan berkumandang,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Thinaah turut menegaskan bahawa beraksi di temasya sukan seperti Sukan SEA menuntut tanggungjawab yang jauh berbeza berbanding kejohanan Jelajah Dunia mahupun perlawanan antarabangsa yang lain.
“Kami bukan sahaja berjuang untuk diri kami sendiri, tetapi yang paling utama, kami berjuang untuk negara. Kami tidak mahu mengecewakan sesiapa dan mahu membuat semua rakyat Malaysia bangga. Semangat juang itulah yang kami bawa masuk ke dalam gelanggang,” jelas Thinaah.
Mengulas mengenai detik menyentuh hati apabila Thinaah dilihat memegang pipi Pearly sebaik tamat perlawanan, Thinaah mengakui ia adalah tanda penghargaan kepada rakan karibnya itu yang bertahan bermati-matian walaupun dalam keadaan fizikal yang sangat keletihan.
“Saya sangat gembira dia (Pearly) mampu bertahan sehingga habis. Saya tahu dia sangat bergelut dan letih. Kami saling mengingatkan untuk terus kuat.
“Kami memang kawan baik dalam kehidupan sebenar, malah sebelum kami digandingkan lagi. Ikatan persahabatan itu yang sangat membantu kami di dalam gelanggang untuk terus bangkit,” tambahnya. – UTUSAN










