SEREMBAN: Sebuah asrama yang menempatkan pekerja sebuah kilang bateri di Kawasan Perindustrian Arab Malaysia, Nilai dekat sini, musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bakarya Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.12 pagi dan tiba di lokasi kejadian 11 minit kemudian.
“Apabila tiba di lokasi, kami mendapati kebakaran di tingkat satu kilang yang dijadikan asrama pekerja. Ia melibatkan katil, tilam dan almari pakaian pekerja.
“Kebakaran melibatkan 60 peratus daripada keseluruhan premis yang turut melibatkan siling bangunan. Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut dan pihak bomba mengambil masa selama 20 minit untuk memadamkan kebakaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut menerima bantuan dari Balai Bomba Seremban 2 dan Balai Bomba Mantin bagi memadamkan kebakaran tersebut.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE