PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) dianggap mementingkan diri apabila bersetuju memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan hari ini, tanpa mendapatkan pandangan parti pembangkang lain.
Ketua Parti Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan berkata, PH tidak berpegang kepada semangat kesetiakawanan secara tulen, meskipun tampil merayu kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad agar memberi sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri kesembilan sebelum ini.
“Kini, bila mereka hendak berunding dengan kerajaan mengenai senarai pembaharuan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Anwar bersama pemimpin-pemimpin PH ketepikan parti Pejuang, Warisan dan Muda yang sama-sama mengundi beliau sebagai calon pembangkang untuk jawatan Perdana Menteri.
“Sokongan pencalonan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri dari pembangkang mereka peroleh juga dari blok ketiga. Tetapi bila ada apa saja bentuk rundingan dengan mana-mana pihak demi kepentingan agenda politik PH, mereka akan tinggalkan rakan-rakan lain. Anwar dan PH mudah lupa daratan serta cepat lupa sejarah,” katanya dalam kenyataan.

Khairuddin turut menyamakan sikap Anwar sama seperti bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sikap mereka juga adalah untuk memperguna sokongan orang lain demi kepentingan diri mereka sendiri dan tidak lebih dari itu.
“Bagi saya, Anwar dan PH tidak boleh dibuat sahabat. Mereka ini adalah golongan yang tidak ikhlas serta amat bersikap individualistik,” katanya.
Sebab itu, beliau bersetuju dengan pandangan pemimpin parti Pejuang yang mahu bertanding 120 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seterusnya menubuhkan kerajaan baharu.
“Jenama parti Pejuang sebagai satu kuasa atau blok ketiga yang bakal berdikari tanpa membabitkan diri dengan sama ada PH atau kerajaan amat tepat.
“Rakyat jelata sudah hilang keyakinan dengan PH yang dipimpin oleh Anwar serta tidak setuju sama sekali dengan kerajaan masa kini yang mengitar semula pemimpin-pemimpin yang tiada kredibiliti,” katanya.
Beliau juga yakin bahawa Pejuang dan blok ketiga sedang berada di posisi yang banyak kelebihan.
“Apapun, jangan sama sekali percaya dengan sikap Anwar serta PH yang tidak ikhlas dengan rakan-rakan lain yang mereka memohon pertolongan sebelum ini.
“Seandainya PH menandatangani perjanjian perbekalan dan keyakinan (CSA) dengan pihak kerajaan maka ia akan memudahkan parti Pejuang serta blok ketiga memenangi PRU-15 secara ‘landslide.’ Rakyat jelata pasti akan tolak PH pada pilihan raya umum yang akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE