PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Betty Rahmad mendedahkan ibu tercintanya, Asmah Mod Ali dan pembantunya, Teha, telah disahkan positif Covid-19 pada pertengahan Ogos lalu, namun kini sudah bebas daripada virus tersebut.
Menerusi entri Instagram, dia tampil menceritakan kronologi mengenai ibu dan pembantunya yang dijangkiti wabak tersebut.
Sehubungan itu, dia turut menzahirkan penghargaan buat kakaknya yang merupakan pengarah terkenal, Erma Fatima dengan tindakan pantas dan telah berkorban menjaga ibunya yang disahkan positif.
“Inilah yang saya lalui Ogos lalu. Besar ujian yang penuh dengan rahmat dan hikmah. Alhamdulillah syukur Allah lindungi saya dan keluarga serta pinjamkan mak sekali lagi pada kami.
“Ya Allah, syurga menantimu kakakku, Erma Fatima. Hari yang ibu saya disahkan positif, Kak Erma terus kosongkan rumah hantar anak-anak rumah lain seta minta kami hantar mak ke rumah dia.
“Dialah yang masakkan mak, mandikan, beri ubat serta periksa segala perkara. Malah, memberitahu kami adik beradik perkembangan mak menerusi video-video ini dalam Whatsapp. Sangat luar biasa dan bangga ada kakak macam dia,” kongsinya.
Mengulas lanjut, Betty memberitahu ibu mereka terpaksa dihantar ke hospital pada hari ke lapan untuk memantau paru-paru yang dijangkiti kuman.
“Lebih kurang seminggu di bawah jagaan Kak Erma ‘doktor tak bertauliah anak Subuh’. Tiap-tiap malam kakak saya buat ujian Covid-19 sendiri, Alhamdulillah Allah lindung.
“Hari ke lapan kami terpaksa menghantar mak ke hospital untuk memantau paru-paru yang ada kuman. Keadaan mak semakin hari semakin baik.
“Semoga perkongsian ini dapat memberi semangat pada mereka yang sedang bertarung dengan Covid-19 dan yang sedang kuarantin. Ternyata ia bukan mudah. Kuatkan mental dan percaya segalanya dari Allah.